
SITUASI kontrak Mohamed Salah di Liverpool terus menemui jalan buntu selepas penyerang sayap tersebut dilaporkan enggan menandatangani tawaran lanjutan daripada kelab berkenaan.
Dia yang sudah berada bersama The Reds sejak 2017 difahamkan mula mendesak kontrak lebih lumayan daripada pihak pengurusan sekiranya tidak mahu menyaksikannya meninggalkan pasukan pada musim panas tahun depan.
Meskipun usianya sudah semakin lanjut, kapten skuad antarabangsa Mesir berkenaan masih menjadi tonggak utama dengan 10 gol dan enam bantuan jaringan sudah direkodkan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
BACA LAGI: Carragher label Salah pentingkan diri, sembang hal kontrak secara terbuka
BACA LAGI: Antony hampir ganti Mo Salah
Ian Rush dan Salah sering menghubungi antara satu sama lain. — Agensi
Jadi, sekiranya Liverpool terus enggan menawarkan lanjutan kontrak kepadanya, Salah pasti akan beredar dengan beberapa kelab sekitar Asia dan Eropah dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.
Bagi mengelak perkara itu, lambakan bekas pemain serta legenda The Reds bertindak membuka mulut apabila masing-masing mula mendesak supaya Liverpool menyelesaikan isu berkenaan segera.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab, Ian Rush menjadi individu terkini berbuat sedemikian dengan dia menegaskan pemain terbabit sukar diganti dengan mudah.
"Saya sering menghubunginya. Penyokong kerap berbincang sama ada dia kekal atau sebaliknya, tetapi saya memilih untuk terus menyaksikannya di atas padang kerana saya menikmati tempoh berkenaan.
"Orang ramai berasakan dia tidak membawa sebarang impak terhadap perlawanan, tetapi tiba-tiba, dia akan menjaringkan satu atau dua gol. Hal itu tidak boleh digantikan kerana ia adalah istimewa dan dia sendiri ialah pemain istimewa," katanya.
Ian Rush merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Liverpool. — Agensi
Jelas bekas penyerang antarabangsa Wales itu, penyokong Liverpool sememangnya mahu menyaksikannya kekal untuk sekurang-kurangnya semusim lagi sebelum dia berkelana ke destinasi lain.
Setakat ini, kelab-kelab seperti Real Madrid, Barcelona dan Al-Ittihad yang beraksi di Arab Saudi difahamkan sedia menawarkan kontrak kepada Salah sekiranya pemain berkenaan meninggalkan skuad The Reds.
Tambah Ian Rush lagi, persembahan cemerlang Salah sepanjang beberapa bulan bersama Arne Slot bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia mempunyai keupayaan untuk beraksi dengan baik di bawah mana-mana pengendali.
"Saya tidak terkejut walaupun tahu perubahan pengurus bukanlah hal mudah. Tetapi, saya berada bersama mereka ketika pramusim dan Liverpool kelihatan cukup baik dan syabas kerana dapat meneruskannya," katanya lagi.
Ketika ini, Salah berada di kedudukan ketiga penjaring terbanyak sepanjang zaman buat The Reds setelah mencetak 223 gol dengan hanya Ian Rush (339) dan Roger Hunt (267) memiliki rekod lebih baik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram