Tak 'bahagia' bersama Amorim, penyerang Man United arah ejen cari kelab baharu


  • Podium
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Dari kiri: Rasmus Hojlund, Zirkzee dan Marcus Rashford yang merupakan penyerang kelab Manchester United.

BEKAS pengurus Sporting Clube de Portugal, Ruben Amorim, secara rasmi memulakan tugasnya sebagai pengurus Manchester United pada minggu lalu, selepas menggantikan Erik ten Hag.

Pengurus berusia 39 tahun itu dipilih sebagai ketua jurulatih baharu selepas kelab berdepan permulaan buruk bagi musim 24/25 hingga menyebabkan pemecatan jurulatih Belanda, Ten Hag.

Menjelang perlawanan pertamanya sebagai pengurus pada hujung minggu ini, Amorim telah bekerja dengan pemain-pemain yang tidak dipilih untuk menyertai pasukan kebangsaan semasa rehat antarabangsa terbaharu.

BACA LAGI: Ten Hag akhirnya dipecat, Zidane dan Klopp antara 3 calon pengganti kekal Man United

BACA LAGI: Bukan Klopp, Zidane jauh sekali, coach Sporting nama paling panas ganti Ten Hag

WhatsApp Image 2024-11-22 at 08.44.33 (1)

Amorim (kanan) dipilih sebagai ketua jurulatih baharu selepas kelab berdepan permulaan buruk bagi musim 24/25.

Dengan jendela perpindahan Januari semakin hampir, dilaporkan bahawa seorang bintang Manchester United tidak gembira di kelab gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut dan menyuarakan hasrat untuk berpindah.

Menurut laporan La Stampa melalui Calcio Mercato, penyerang Belanda, Joshua Zirkzee, yang baru menyertai Manchester United daripada kelab Serie A Itali, Bologna, musim panas ini, dikatakan sedang tidak bahagia di kelab itu.

Difahamkan bahawa pemain berusia 23 tahun itu sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab tersebut dan sudah pun mengarahkan ejennya untuk mencari kelab baharu.

Laporan itu turut menyatakan bahawa gergasi Itali, Juventus, mungkin menjadi destinasi berpotensi dengan pengurus Thiago Motta dikatakan sebagai peminat Zirkzee.

Selain itu, sebarang perpindahan yang berlaku kemungkinan besar akan berbentuk pinjaman, apabila Zirkzee juga terbuka untuk meninggalkan Manchester United secara sementara.

Zirkzee bergelut untuk menaikkan prestasi peribadi selepas menjaringkan gol dalam debut Liga Perdana Inggerisnya menentang Fulham.

Setakat ini dalam kempen 24/25, penyerang Belanda itu hanya berjaya mencatatkan satu gol dan dua bantuan dalam 17 penampilan di semua perlawanan.

Sementara itu, dalam temu bual pertama dengan kelab, Amorim menjelaskan hal yang dia ingin penyokong lihat dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus, yang akan berlangsung menentang Ipswich Town pada hari Ahad.

"Anda akan melihat satu idea. Boleh jadi anda suka atau tidak, saya tidak tahu, tetapi anda akan melihat satu idea.

"Anda akan melihat satu penempatan posisi yang kami ingin capai pada tahap itu. Anda akan merasakannya."

"Kita perlu sedar bahawa ini seperti dua sesi latihan sebelum perlawanan pertama.

Ini adalah liga terbaik di dunia. Jika saya perlu katakan sesuatu, (ia adalah) anda akan melihat satu idea. Ini saya boleh jamin," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram