Lokal atau import, pengganti Ong Kim Swee kena beri lebih baik — Reduan Abdullah


  • Podium
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Kim Swee mengendalikan sesi latihan terakhir bersama Sabah pada Rabu.

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, meninggalkan skuad Sang Badak selepas hampir tiga musim menabur bakti di Negeri Di Bawah Bayu sejak 2021.

Bekas pengendali Harimau Muda itu memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya bersama Sang Badak yang akan tamat pada 30 November 2024.

Tugasan terakhirnya bakal menyaksikan Sabah bertemu PT Athletic dalam saingan Unifi Piala Malaysia, di Stadium Kuala Lumpur pada Sabtu (22 November).

BACA LAGI: [VIDEO] Tak serik dikecam, giliran JDT jadi karya baharu ‘Mat Saleh’ selepas TFC

BACA LAGI: [VIDEO] Dari bangku simpanan kini ‘regular starter’ Liga M musim 2024

Menjadi persoalan siapakah yang akan menggantikan jawatan ditinggalkan oleh Kim Swee selepas pengendali berusia 53 tahun itu cemerlang membawa Sabah di pelbagai peringkat domestik dan antarabangsa.

Menurut pandangan bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya, Reduan Abdullah, sesiapa yang menggantikan Kim Swee wajar memberikan impak lebih baik buat pasukan itu.

"Sesiapa yang mengisikan tempat itu (jurulatih Sabah) diharapkan boleh memberi impak kepada pasukan Sabah.

"Individu itu mesti beri impak kepada pasukan Sabah selepas apa yang telah dilakukan oleh Kim Swee.

"Untuk pelantikan ini juga kita mesti tengok ciri-ciri jurulatih yang diinginkan oleh pihak pengurusan Sabah bagaimana," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, penyokong tidak boleh berharap jikalau mahu pengendali baharu nanti akan mengekalkan identiti bola sepak yang dibawakan oleh Kim Swee.

"Tidak dinafikan Kim Swee melakukan dengan baik dan penyokong mahu ia kekal.

"Mungkin jurulatih baharu itu akan menggunakan cara-cara tersendiri, dan mungkin akan memberikan satu impak yang lebih baik.

"Perkara itu yang kita nak lihat, tidak kira sama ada jurulatih lokal mahupun import, individu baharu ini mampu buat lebih baik daripada Kim Swee," jelasnya.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersetuju memberi lanjutan kontrak kepada Ong Kim Swee untuk kekal sebagai jurulatih utama.

"36 bulan bersama Sabah bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak sehebat ini," katanya menerusi X. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram