SEPANJANG saingan Liga Super 2024/25, peminat sudah dikejutkan dengan empat perubahan ketua jurulatih pasukan dengan penggantian Akmal Rizal Ahmad Rakhli di Penang FC merupakan yang terbaru.
Rombakan yang paling mengejutkan sudah tentu berkisar mengenai perpisahan pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil yang direhatkan meskipun kelab itu berada dalam landasan tepat di peringkat domestik mahupun Asia.
Bagaimanapun, dengan konflik yang tercetus, perubahan terpaksa diambil dengan harapan keputusan diambil akan membuahkan hasil seperti mana diharapkan pihak pengurusan mahupun penyokong.
BACA LAGI: Kekal hingga hujung musim, Kim Swee mahu balas kepercayaan Sabah FC
BACA LAGI: Keserasian bersama Kim Swee antara 3 sebab Stuart Wilkin patut kekal di Sabah
Seorang lagi jurulatih akan meninggalkan kelabnya dalam masa terdekat.
Baru-baru ini, satu lagi rombakan dijangka berlaku melibatkan pengendali pasukan ternama Liga Super yang masih belum didedahkan kepada orang ramai.
Khabar angin itu tercetus selepas wartawan tanah air, Karl Nunis melaporkan seorang jurulatih akan direhatkan dalam masa terdekat dalam satu ciapan di akaun X peribadinya.
"Jurulatih terkemuka sebuah pasukan Liga Super bakal ucap selamat tinggal. Bola sepak Malaysia sudah tentu akan terasa kehilangannya," katanya pada Selasa.
Setakat ini, tiada kelab difahamkan mahu membuat rombakan memandangkan masing-masing berpuas hati dengan prestasi selain mahu mengelak isu kewangan melanda berikutan tindakan ke atas ketua jurulatih.
Akmal Rizal merupakan jurulatih terbaru yang meninggalkan pasukannya. — Facebook/Penang FC
Namun, berdasarkan desas-desus di media sosial, pengendali yang difahamkan hampir meninggalkan pasukannya ialah Datuk Ong Kim Swee dengan hal tersebut turut bermain dalam fikiran penyokong.
Ini kerana pengendali Sabah FC itu dilaporkan mahu meninggalkan kelab tersebut meskipun baru sahaja menandatangani kontrak yang menyaksikannya akan kekal di kelab Borneo berkenaan sehingga penghujung musim 2024/25.
Khabar angin berkenaan timbul berikutan masalah gaji dialami skuad Sang Badak sejak 2023, namun difahamkan sudah diselesaikan melihat kepada prestasi memuaskan mereka di atas padang.
Kim Swee bagaimanapun pasti terbuka mencari kelab baharu dalam kariernya kerana pengalaman dimilikinya sesuai untuk membawa kelab berprestij termasuk Selangor FC yang juga mahu membawa masuk jurulatih bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Nidzam Jamil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram