'Jarang berlaku tapi isu kecederaan dalam boling lazimnya berpunca daripada bola tak sesuai'


  • Podium
  • Ahad, 17 Nov 2024

Pemain amatur perlu memastikan bahawa teknik melempar bola dilakukan dengan betul untuk mengurangkan risiko kecederaan pada bahagian pergelangan tangan, siku, dan bahu. — Gambar hiasan

SIKAP sambil lewa dalam sukan boling sangat berbahaya dan boleh menghalang pemain amatur daripada menikmati permainan dengan selamat.

Adalah penting bagi pemain amatur untuk selalu memberi tumpuan kepada keselamatan, teknik yang betul dan persekitaran sekeliling mereka untuk mengelakkan kecederaan dan meningkatkan pengalaman permainan.

Mengulas lanjut mengenai langkah keselamatan sebagai pemain amatur sukan berkenaan, Azni Ibrahim sempat berkongsikan pengalamannya sebagai seorang bekas jurulatih bola boling.

BACA LAGI: Utamakan senaman dan guna bola boling yang sesuai dengan tangan — Pemain amatur

BACA LAGI: Kualiti bola boling ‘in house’ menyedihkan, 'bunuh' potensi bintang amatur angkara 'pitch' dan 'switch thumb'

Azni berkata, pemain amatur perlu memastikan bahawa teknik melempar bola dilakukan dengan betul untuk mengurangkan risiko kecederaan pada bahagian pergelangan tangan, siku, dan bahu.

Tambahnya, sepanjang aktif dalam sukan tersebut, dia mendedahkan bahawa kecederaan yang paling kerap dialami oleh pemain adalah pada ibu jari.

6179387534765834358

Infografik menunjukkan kawasan kecederaan semasa memegang bola boling. — Gambar hiasan

"Isu keselamatan tak pernah membelenggu pemain sepanjang penglibatan saya cuma kalau isu kecederaan pernah berlakulah terutamanya pada jari pemain terutama ibu jari, biasanya berpunca daripada lubang yang tidak sesuai.

“Selain itu, kecederaan pada otot bahu juga sering berlaku kerana teknik ayunan yang salah dilakukan,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, bola boling yang digunakan haruslah sesuai dengan berat dan saiz tangan pemain kerana pemain perlu memilih bola yang tidak terlalu berat atau ringan bagi mengelakkan ketegangan pada pergelangan tangan dan siku.

“Pemilihan berat bola yang sesuai sangat penting untuk mengelakkan kecederaan selain bola boling perlu disesuaikan dengan berat badan dan kekuatan tangan pemain agar dapat dimainkan dengan selesa dan selamat,” ujarnya.

2997283

Keadaan bola boling yang rosak boleh menyebabkan para pemain amatur mengalami kecederaan. — Gambar hiasan

Di samping itu, Azni yang berusia 61 tahun itu turut berkongsikan bahawa selain keadaan bola boling yang perlu diberi perhatian, regangan otot juga patut diutamakan.

Menurutnya, sebelum bermain, pemain amatur perlu melakukan pemanasan dan regangan otot untuk mengelakkan kecederaan pada otot dan sendi.

Regangan yang betul membantu meningkatkan fleksibiliti dan mempersiapkan badan untuk aktiviti fizikal yang lebih intensif.

“Bukan sahaja mengambil kira mengenai berat bola namun saiz lubang perlu sepadan dengan jaring pemain iaitu tidak terlalu longgar dan terlalu ketat.

“Tetapi, pada pendapat saya, pemain amatur tak perlu pun mengubahsuai bola selain yang dibenarkan. Tetapi perkara tersebut tidak pernah berlaku sepanjang penglibatan saya dalam sukan ini,” kongsinya. — Majoriti

Azni yang juga merupakan pesara guru pernah melatih pemain boling muda sebelum ini dengan pengalaman tersebut sudah tentu cukup baginya mengenal pasti isu membelenggu atlet amatur baharu dalam sukan berkenaan.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram