'Ini bukan mengenai saya atau Arif Aiman', Tommy Mawat nekad ambil tindakan undang-undang isu perkauman


  • Podium
  • Rabu, 13 Nov 2024

Tangkap layar video memaparkan insiden tegang antara Arif Aiman dan Tommy Mawat.

PERTAHANAN kiri Perak FC, Tommy Mawat Bada difahamkan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membangkitkan isu perkauman terhadapnya.

Menerusi Insta Story miliknya pada Rabu, pemain kelahiran Kapit, Sarawak berkenaan berkongsi bahawa masih ada sesetengah individu tidak bertanggungjawab mempersendakan kaumnya iaitu Dayak.

Tidak duduk diam dengan komen yang masih dilemparkan kepadanya itu, pemain berusia 29 tahun berkenaan bertegas akan mengambil tindakan undang-undang meskipun sebelumnya sudah membuat satu teguran kepada para penyokong.

BACA LAGI: 'Saya bangga ada darah Dayak', Tommy Mawat bersuara lepas fans tinggalkan komen 'bakar line'

BACA LAGI: Bukan setakat kad kuning, nasib Arif Aiman-Tommy Mawat kini di tangan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas TMJ bersuara

“Ini bukan tentang saya dan AA (Arif Aiman Hanapi). Ini tentang orang yang suka memainkan sentimen perkauman. Saya tidak mencari simpati tetapi mereka sangat tidak menghormati orang lain. Saya harap anda gembira dengan hidup anda selepas berkata seperti ini.

“Anda layan kami seperti sampah. Kerana apa? Kerana tidak terjadi kepada anda. Anda boleh mengkritik apa saja, tidak perlu menyentuh mengenai isu kaum.

“Anda bukan saja bercakap kepada saya, tetapi orang Dayak lain di luar sana. Jangan ingat anda boleh terlepas dari perkara ini. Bukan nak riak tetapi adab kena ada.

“Dalam bola sepak ada pelbagai kaum dalam sukan ini. Tapi kau hina aku dan bangsa aku sekali. Patutkah saya mengambil tindakan atas isu ini?,” kata Tommy Mawat pada Rabu.

WhatsApp Image 2024-11-13 at 21.36.17

Tangkap layar Insta Story Tommy Mawat.

Sebelumnya, Tommy Mawat memberitahu bahawa kejadian yang berlaku di laman JDT itu tidak menggambarkan kaumnya dan ia bukan tiket untuk para penyokong memberi kritikan sehingga menyentuh isu peribadi pemain bola sepak.

Pada Isnin media melaporkan, Arif Aiman dan Tommy tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

Kenyataan berkenaan diberikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram