[VIDEO] Tak pernah menang Tekong Terbaik, Syahir Rosdi sendiri terkejut muncul MVP STL 2024


  • Podium
  • Isnin, 11 Nov 2024

Syahir Rosdi dinobatkan Pemain Terbaik STL 2024. — Instagram/SyahirRosdi

KUALA Lumpur (KL) Thunder membuktikan kelas mereka tersendiri dalam saingan Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2024 apabila berhasil menyapu bersih semua gelaran daripada Grand Prix (GP) Selangor sehingga GP Johor baru-baru ini.

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang berkenaan menghuni carta teratas dengan kutipan mata tertinggi sebanyak 160 mata, sekaligus memimpin senarai empat pasukan teratas yang akan bertarung di Piala Juara-Juara 2024.

Manakala, di tempat kedua menyaksikan juara musim lepas, Perak Bison menamatkan saingan dengan kutipan 93 mata, diikuti Selangor Pistons dengan 82 mata dan Negeri Sembilan Antlers dengan 66 mata. Kesemua mereka lolos ke kejohanan Piala Juara-Juara 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan hanya aksi sengit, STL 2024 hidang 3 momen menarik GP

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: KL Thunder pasukan paling solid, tiada kelemahan — Pengurus Johor Tigris

Bukan hanya merangkul trofi sebagai satu pasukan apabila dua watak utama KL Thunder iaitu Rosli Rahman dianugerahkan sebagai Jurulatih Terbaik musim ini dan tekong mereka, Syahir Rosdi dinobatkan Pemain Terbaik (MVP) STL 2024.

Bagaimanapun, anugerah yang dirangkul pemain kebangsaan itu mengundang persoalan penyokong sepak takraw tanah air susulan Syahir sebelum ini tidak pernah diumumkan sebagai tekong terbaik dalam lima GP berlangsung.

Tidak tersentak dengan komen-komen kurang enak dari warganet, tonggak berusia 28 tahun itu percaya bahawa anugerah Pemain Terbaik itu adalah rezeki yang dia tidak pernah terfikir akan perolehi.

“Untuk format GP tahun ini anugerah tekong terbaik diberi mengikut statistik dan tekong mana yang banyak bermain, dia yang akan dapat anugerah. Macam saya di KL Thunder ada proses penggiliran.

“Sejujurnya memang saya tak mengharapkan anugerah individu, hanya mahu satu pasukan dapat piala. Kalau dapat bonus. Anugerah individu nombor dua.

“Saya agak terkejut sebab MVP sepatutnya tekong terbaik dari lima GP yang layak dapat antara Haziq (Nizam) dan Meor (Zulfikar). Tapi bila saya yang tak pernah dapat dan menang MVP memang terkejut,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut mengenai proses penggiliran pemain yang dibuat oleh jurulatih, Rosli, Syahir menggangap ia adalah satu langkah tepat untuk menunjukkan kerjasama antara pemain KL Thunder.

“Bagi saya tiada isu kecil hati sebab kita main sebagai satu pasukan. Kalau saya tidak dapat buat, akan ada orang lain yang akan tolong. Sebab itu saya cakap kerjasama kami antara pemain memang outstanding.

“Macam dałam KL Thunder ada dua tekong simpanan iaitu Zarif (Merican) dan Riezman Faizol. Kami semasa latihan pun tiada gelak-gelak dan akan sparring betul-betul. Bila latihan begitu, dalam permainan pun akan begitu. Kita nak piala utama dan bukan anugerah individu,” ujarnya.

Selepas ini, Piala Juara-Juara 2024 bakal menyaksikan KL Thunder bertemu berdepan cabaran getir antaranya berdepan juara bertahan, Negeri Sembilan Antlers.

Selain empat kelab tempatan, pasukan luar seperti Garuda Sepaktakraw dari Indonesia, MGPC Singapore (Singapura), Royal Thai Air Force Takraw Club (Thailand) dan India Fighters (India) juga akan memberi cabaran hebat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram