[VIDEO] STL 2024: KL Thunder pasukan paling solid, tiada kelemahan — Pengurus Johor Tigris


  • Podium
  • Isnin, 04 Nov 2024

Sebahagian aksi menarik ketika perejam KL Thunder (dua kanan) cuba membuat libasan ke gelanggang Johor Tigris. — Facebook/STL

PENGURUS Johor Tigris, Ahmad Hasif Mohamed Halim menyifatkan juara bertahan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024, Kuala Lumpur Thunder sebagai satu skuad yang cukup lengkap.

Menurutnya, KL Thunder yang dibarisi oleh hampir semua pemain negara menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin dengan mendominasi kejuaraan saingan STL musim ini.

"Pada pandangan peribadi saya, KL Thunder merupakan satu pasukan yang solid dan tiada kelemahan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Fans berspekulasi, katanya kemenangan Johor Tigris 'hadiah', Negeri Sembilan Antlers seolah-olah mahu elak jumpa KL Thunder

BACA LAGI: Hilang sentuhan 'otai', Penang Black Panther antara 3 pasukan gagal ulangi kejayaan di GP Johor

Pasukan Lembah Klang itu terus menjadi kuasa besar STL selepas menyapu bersih semua gelaran bermula Grand Prix Selangor sehingga GP Johor.

Ditanya mengenai isu Negeri Sembilan Antlers yang dipercayai menjual perlawanan ketika bertemu pasukan kendaliannya itu di peringkat kumpulan A, Ahmad Hasif enggan memberi sebarang komen.

Menurutnya, keputusan itu adalah pilihan pasukan lawan dan dia tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan perkara tersebut.

Dalam aksi tersebut, pasukan kendalian Jamaluddin Hassan berhasil menundukkan cabaran NS Antlers secara straight set dengan keputusan 15-12,15-11.

"Pendapat saya kalau ada suara-suara sumbang yang mengatakan pasukan NS Antlers itu menjual perlawanan ketika bertemu Johor Tigris, pada saya itu adalah pilihan mereka.

"Terpulang kepada pasukan NS Antlers sendiri. Itu adalah pilihan mereka sekiranya mahu menjual perlawanan.

WhatsApp Image 2024-11-03 at 17.02.33 (1)

Sebahagian aksi menarik apabila libasan pemain Johor Tigris (jersi biru) dihadang dengan baik oleh killer KL Thunder. — Facebook/STL

Tambah Ahmad Hasif, dalam perlawanan bertemu NS Antlers, dia melihat anak-anak buahnya mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk memberikan persembahan terbaik.

"Apa yang saya nampak dalam perlawanan tersebut adalah semangat pemain-pemain saya untuk memberi satu persembahan yang terbaik pada perlawanan itu," jelasnya yang berbangga dengan pencapaian Johor Tigris bergelar juara Kumpulan A.

Sebelum ini, hangat diperkatakan di laman sosial apabila pasukan NS Antlers seolah-olah mahu mengelak lebih awal untuk bertemu juara bertahan, KL Thunder dalam pusingan suku akhir.

Hal ini kerana, sekiranya NS Antlers bergelar juara dalam kumpulan, mereka akan secara automatik bertemu KL Thunder yang merupakan naib juara Kumpulan C selepas tewas kepada Perak Bison 2-1 (6-15,15-8,10-15).

Meskipun berjaya mara ke suku akhir namun Johor Tigris terpaksa akur akan kekuatan yang dimiliki oleh KL Thunder apabila tewas straight set dengan keputusan 13-15,9-15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram