SELANGOR FC serius memperkuatkan pasukan mereka menjelang saingan Liga Super musim depan apabila sah menandatangani pemain warisan Finland-Malaysia, Nooa Laine Hamzah secara tetap selepas tempoh pinjamannya tamat.
Keputusan Selangor untuk menandatangani Nooa secara tetap dilihat sesuatu yang menguntungkan Gergasi Merah selepas jeneral tengah Harimau Malaya itu beraksi dengan baik musim ini.
Namun begitu, dengan menyimpan Nooa secara tetap tidak akan banyak membantu Selangor untuk merebut gelaran juara Liga Super musim hadapan jika pihak pengurusan gagal memancing pemain bintang lain.
BACA LAGI: Fans saran rombak pengurusan lama, cadangan Tim Cahill disambut baik jayakan revolusi FAM
BACA LAGI: Keputusan MFL, Perak FC satu penghinaan buat penyokong — Bekas YDP Majlis Perbandaran Manjung
Majoriti senaraikan tiga pemain bintang tempatan wajar menjadi perhatian pihak pengurusan Selangor pada musim depan:
1. Stuart John Wilkin
Bekas prospek berbakat Southampton FC, Stuart John Wilkin wajar menjadi salah seorang pemain yang perlu dibawa ke dalam kem Selangor pada musim depan.
Kehebatan Wilkin mengawal bahagian tengah permainan tidak lagi perlu dipertikai oleh penyokong Selangor kerana terbukti ketika bersama Sabah FC dan skuad kebangsaan.
Musim ini, pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan tiga gol dalam 11 penampilan bersama Sabah dengan mencatatkan 740 minit permainan.
Dengan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami Noor Al-Rawabdeh, Wilkin antara bintang sesuai untuk menggantikan ketiadaan pemain kebangsaan Jordan itu pada musim depan.
2. Muhammad Adib Ra'op
Umum mengetahui Selangor musim ini bergelut untuk memperkuatkan barisan pertahanan mereka selepas membawa masuk pemain muda Jordan, Mohammad Abualnadi semasa jendela perpindahan kedua Liga Super.
Ahmad Khuzaimi Piee dan Muhammad Fazly Mazlan pula dilihat bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik sekali gus membuka ruang buat Ahmad Zikri Khalili berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Walaupun Zikri beraksi cemerlang, Muhammad Adip Ra'op mungkin calon sesuai untuk bersaing bersama pemain muda itu di posisi pertahanan kiri.
Bersama Penang FC, Adib telah beraksi sebanyak 15 perlawanan dan berjaya menjaringkan satu gol dan dua 'assist' musim ini.
3. Zhafri Yahya
Mungkin musim depan merupakan peluang terbaik buat anak kelahiran Klang, Selangor, Zhafri Yahya pulang ke pangkuan Gergasi Merah dan berbakti buat negeri kelahirannya.
Dengan kemelut isu tunggakan gaji yang melanda Kuala Lumpur City FC (KL City), pihak pengurusan Selangor wajar mengambil kesempatan tersebut untuk memancing pemain berusia 30 tahun itu menyertai kem Gergasi Merah musim depan.
Zhafri yang boleh beraksi di posisi sayap kanan bakal memberikan kelebihan dan lebih banyak ruang untuk ketua jurulatih baharu Selangor memilih pemain mengikut kehendak corak permainan.
Untuk rekod, Zhafri pernah beraksi bersama Selangor semasa usia remajanya dengan mewakili skuad Piala Presiden sebelum menyertai KL City pada 2015. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram