KEMARAHAN dan kekecewaan penyokong Perak FC jelas ketara mengenai keputusan perlawanan tertangguh Liga Super bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Ahad.
Perlawanan yang sepatutnya diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Manjung terpaksa dipindahkan lokasinya kerana terdapat masalah dengan lampu limpah.
Keputusan tersebut nyata mengecewakan penyokong Perak kerana mereka berpendapat The Bos Gaurus sudah kehilangan kelebihan sebagai tuan rumah.
BACA LAGI: Keputusan MFL, Perak FC satu penghinaan buat penyokong — Bekas YDP Majlis Perbandaran Manjung
BACA LAGI: [VIDEO] Masalah 'home ground' seperti Perak FC, 3 pasukan pilih fasiliti JDT jadi 'rumah sewa'
Menyedari situasi itu, Pengurus Besar Perak, Neow Choo Seong mengambil tanggungjawab atas perkara yang berlaku.
Choo Seong berkata, walaupun dia tidak terlibat secara langsung dalam pembuatan keputusan bermain di SSI itu, tetapi dia sedia mengambil tanggungjawab penuh.
"Walaupun saya tidak terlibat secara langsung dalam membuat keputusan kali ini, saya sedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan tetap akan menyokong setiap keputusan yang dibuat oleh pengurusan kelab secara kolektif dan konsensus.
"Sebagai seorang anak jati negeri Perak dan salah seorang penyokong sejati Perak FC, saya terima dengan hati terbuka dan saya berpendapat setiap penyokong berhak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka atas prinsip kebebasan bersuara.
"Namun, setiap komen yang ingin ditujukan biarlah berhemah dan membina, selari dengan nilai dan peradaban orang Perak. Jangan kerana marahkan seekor nyamuk, terbakar satu kelambu," kata Choo Seong.
Choo Seong turut menyeru penyokong Perak agar terus setia bersama pasukan walaupun sedang berdepan kesukaran.
Baginya, pengurusan kelab berusaha sebaiknya untuk memastikan segalanya terkawal terutamanya dari segi kewangan dan mengelak Perak daripada mengalami kejatuhan.
"Dengan keadaan ekonomi yang mencabar dan ekosistem bola sepak yang masih kurang seimbang, tidak ramai pihak atau syarikat yang mampu dan mahu terlibat dalam industri bola sepak tempatan. Sejak pertengahan tahun 2022, XOX telah banyak melabur dan menyelamatkan bola sepak negeri Perak daripada terus dilanda kejatuhan.
"Saya akui pengurusan kelab ini tidak sempurna dan kadang kala terpaksa mengimbangi ekspektasi dan realiti demi survival kelab. Apa yang pasti, sokongan para penyokong adalah sangat penting dan merupakan kunci kepada kemajuan bola sepak Perak FC.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf secara terbuka di atas sebarang kesulitan kepada semua penyokong Perak FC, serta Majlis perbandaran Manjung (MPM) yang telah banyak membantu Perak FC. Saya berharap semua pihak akan terus menyokong usaha Perak FC dalam mengharungi perjalanan dunia bola sepak yang penuh mencabar ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram