Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
DARI satu sudut, Nafuzi Zain lebih daripada sedia mengakui pemain-pemainnya berada dalam keadaan mental dan fizikal yang paling lemah. Dari sudut berbeza pula, ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC itu masih terkilan kerana pasukannya tidak dapat mempertahankan pendahuluan yang dimiliki.
Pada penghujungnya, keputusan seri 1-1 dengan PDRM FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat mungkin adil buat kedua-dua pasukan tapi Nafuzi seakan-akan tidak dapat mengelakkan dirinya daripada membandingkan dengan keadaan ketika skuad Helang Merah itu bebas daripada belenggu gaji tidak berbayar.
Menghadiri sidang media selepas perlawanan dalam keadaan sugul, Nafuzi akur satu mata yang diraih itu amat berharga – mengekalkan KDA FC di tangga ke-10 seperti minggu sebelumnya – tetapi berasakan ia tetap satu kerugian selepas mendahului.
BACA LAGI: 'Luka yang melukakan', skil Milunovic, kesilapan Shivan punca Perak FC biar Sang Penyu curi mata
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan letak harapan tinggi, Black Panthers kekal 'wajah sama' sepanjang GP Johor
Sang Kenari berjaya mengutip empat mata berharga selepas meraih kemenangan bertemu Terengganu FC dan seri menentang PDRM FC. — Facebook/KDAFC
Tuan rumah itu hanya memerlukan 16 minit untuk berada di hadapan melalui Syafiq Ahmad tetapi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkannya kerana ofsaid. Berselang 14 minit, KDA FC tidak lagi dapat dinafikan apabila Cleylton Santos memberikan pendahuluan.
PDRM FC – pasukan di tangga kelima sebelum sepak mula – turut mendapati satu jaringannya menerusi Ifedayo Olusegun dihukum ofsaid pada minit ke-38 sebelum pelawat bangkit untuk mengikat kedudukan hasil gol Aremu Timothy pada minit ke-56.
Statistik perlawanan menunjukkan saingan yang hampir seimbang dengan tuan rumah mendapat 57 peratus pemilikan bola dan berhasil membuat lapan percubaan gol dengan empat daripadanya tepat berbanding 5:3 di pihak pelawat.
“Dari segi permainan keseluruhan, kita bermain dengan baik walaupun kita tahu keadaan kita. PDRM lagi bagus, satu pasukan yang mempunyai kekuatan fizikal lebih baik dari segi kadar kerjanya. Tapi apa yang kita tunjukkan adalah suatu yang saya patut bangga.
“Saya rasa permainan yang agak baik dan tersusun malam ni, beberapa peluang kita cipta. Dari segi bertahan pun agak berdisiplin, kita pun tahu cara PDRM bermain. Tetapi kita berasa kecewa bila kita mendahului dan (kesudahannya) seri.
“Tapi saya mengakui bahawasanya kita mungkin tewas dari segi kecergasan. Mungkin untuk game malam ini, kita hanya mampu bermain untuk 45 minit.
“Bermula babak kedua, kita nampak pemain-pemain betul-betul keletihan. Segala pergerakan dan hantaran pun agak perlahan. Kita kekurangan tenaga tapi keseluruhannya kita bertahan dengan baik, bermain dengan baik,” kata Nafuzi.
Bek tengah Sang Kenari, Cleyton mencetak satu gol penting buat KDA FC dalam perlawanan bertemu PDRM FC. — Facebook/KDAFC
Jurulatih itu berkata, keadaan pasukannya mengulangi skrip yang sama seperti dalam beberapa perlawanan terakhir – dengan pemain-pemain dibelenggu kesukaran dan hilang penumpuan gara-gara tunggakan gaji tujuh bulan.
“Kita tidak mempunyai peluang yang banyak tapi ada peluang kita dapat (satu) gol. PDRM menggunakan kesempatan yang dia ada. Saya rasa itu saja peluang yang dia ada, dia gunakan.
“Apa pun, kesungguhan pemain saya patut berterima kasihlah. Skrip yang samalah kalau saya beritahu pun dalam keadaan pemain. Tapi tetap tunjukkan semangat juang yang begitu tinggi, saya hargailah,” katanya sambil menambah taktikal yang ditetapkannya ialah supaya membina pergerakan dengan lebih bersabar.
Menurut Nafuzi, pemain-pemainnya dituntut agar tidak tergesa-gesa supaya tidak terlalu cepat kehilangan bola yang boleh menyukarkan pasukan.
“Kerana kita tahu kondisi pemain kita dari segi tahap kecergasan. Bila pasukan tidak mempunyai latihan yang betul selama dua bulan dan membuat persediaan yang singkat, ini memberi kesan dalam perlawanan kompetitif dan bertempo tinggi seperti ini.
“Kita perlu ‘match fitness’ untuk kita bersaing kerana dari segi Latihan, kita tidak ada persiapan, game pun rapat-rapat,” tambahnya.
Sebahagian aksi Ebenezer Assifuah (tengah) yang cuba menyerang ke kubu The Cops. — Facebook/KDAFC
Akur dengan kesukaran yang dilalui pemain-pemainnya, Nafuzi menghargai ‘pengorbanan’ mereka untuk cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan.
“Saya begitu ‘respect’ kepada pemain-pemain saya walaupun keadaan fizikal dan mental mereka sangat-sangat lemah. Dua perlawanan terakhir ini, kita hadapi lawan berbeza, cara yang berbeza.
“Tapi dari segi permainan, kita tengok (KDA FC) seperti satu pasukan yang tidak mempunyai apa-apa masalah. Pemain-pemain cuba untuk beri yang terbaik tapi mungkin mereka tidak mampu untuk berada di tahap itu,” katanya.
Nafuzi, dalam pada itu, menuntut kefahaman ramai bahawa selain latihan dan perlawanan, ada perkara yang di luar kawalannya.
“Yang penting sekarang ni semangat pemain tidak luntur tetapi memerlukan satu ‘energy booster’ yang memberi mereka satu tenaga yang luar biasa.
“Tonik yang luar biasa tu saya rasa semua sudah maklumlah.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram