'Insya-ALLAH recovery fast', janji The Engineer pujuk fans Gergasi Merah


  • Podium
  • Selasa, 22 Okt 2024

Rawabdeh juga sebelum ini mengalami kecederaan di bahagian kepalanya ketika aksi Selangor menentang PDRM pada Julai lepas. — Facebook/PDRMFC

TEKA-TEKI mengenai kecederaan pemain tengah Selangor FC, Noor Rawabdeh akhirnya terjawab selepas pihak pengurusan kelab berkenaan berkongsi perkembangan terkini bintang import Jordan itu pada Selasa.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi Selangor, skuad Gergasi Merah mengesahkan Rawabdeh mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kanannya pada aksi menentang PDRM FC bagi saingan Liga Super 2024/2025.

Pada perlawanan di Stadium Selayang, Selangor yang menyaksikan Gergasi Merah merekodkan seri 1-1 menentang The Cops difahamkan akan menjadi perlawanan terakhir Rawabdeh pada musim ini susulan perlu berehat selama sembilan bulan.

BACA LAGI: Otot lutut koyak buat enjin Gergasi Merah terpaksa rehat lama, bikin Nidzam Jamil terus pening kepala

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ramai sangka saya menipu', Rawabdeh terpaksa tunjuk bukti luka dalam angkara kepala Safwan

Menurut Ketua Jabatan Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Hazwan dan seluruh pasukan perubatan kelab, Rawabdeh disahkan menghidap ACL sebaik keputusan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dikeluarkan pada Isnin.

“Penilaian awal di atas padang dalam perlawanan PDRM FC tempoh hari mengesahkan Noor mengalami kecederaan serius dan sekali gus dibawa keluar dari permainan serta-merta. Noor pernah mengalami sakit dan bengkak pada lututnya sebelum pemeriksaan.

"Semalam (Isnin), diagnosis mengesahkan Noor menghidap ACL melalui MRI. Setakat ini, dia akan menjalani latihan pra pembedahan sebelum pembedahan yang akan dirancang dalam masa terdekat.

"Dia dijangka mengambil masa sehingga sembilan bulan untuk kembali ke padang," kata Dr Hazwan memetik kenyataan yang dikeluarkan kelab pada Selasa.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, juga tidak menafikan bahawa ketiadaan Rawabdeh dalam kem Red Giants dan juga skuad kebangsaan Jordan pastinya akan dirasai.

"Ketiadaan watak seperti beliau memberi impak kepada pasukan kerana beliau merupakan naib kapten Red Giants dan beliau sentiasa terlibat dalam setiap pergerakan permainan pasukan. Dia telah memainkan peranan penting untuk kami," jelasnya.

Menjengah respons Rawabdeh mengenai ujian tersebut, pemain berusia 27 tahun itu memberi ucapan penghargaan kepada semua pihak termasuk penyokong yang tidak putus-putus bertanya khabar mengenai dirinya.

"Dari lubuk hati yang paling dalam, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghantar mesej dan saya minta maaf kerana tidak dapat membalas anda semua.

"Insya-ALLAH saya akan cepat sembuh dan semoga Tuhan melindungi orang yang anda sayang daripada sebarang bahaya," kongsinya pada hantaran di Insta Story pada Selasa.

WhatsApp Image 2024-10-22 at 14.56.21

Tangkap layar luahan Rawabdeh pada Insta Story.

Perkembangan terkini tersebut dilihat sedikit merencatkan persiapan Gergasi Merah bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2024 serta kempen ACL2 yang dijangka Selangor akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Kecederaan dialami Rawabdeh juga secara tidak langsung menyaksikan Gergasi Merah akan terlepas khidmatnya dalam perlawanan menentang Jeonbuk dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dekat Kelana Jaya, Selangor pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram