WALAUPUN saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 belum melabuhkan tirainya namun sudah ada beberapa berita kurang enak singgah di beberapa pasukan yang bertanding pada musim ini.
Berita yang dimaksudkan ialah apabila ada pasukan musim ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada tonggak utama mereka meskipun saingan Grand Prix (GP) Pulau Pinang dan Johor masih belum berlangsung.
Misalnya, baru-baru ini Kelantan Warriors kehilangan khidmat tekong utama iaitu Purached Yodsaen selepas pemain kelahiran Thailand berkenaan difahamkan terpaksa pulang ke kampung halaman atas urusan kerja.
BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: 3 resipi termasuk tanpa sentuhan import bikin KL Thunder sukar dicabar
Selepas pasukan Pantai Timur berkenaan, skuad Johor Tigris juga menerima nasib sama apabila mereka juga terpaksa melepaskan kepakaran tekong Thailand mereka iaitu Chayapon Chanakon.
Pemergian Chayapon dikongsikan oleh salah seorang pengguna Facebook, Tasyrif Tajudin yang memuat naik foto pemain berkenaan bersama sebuah bagasi dengan kapsyen ucapan selamat tinggal menjadi pelengkap hantaran tersebut.
Chayapon bukan seorang pemain terkenal seperti beberapa bintang takraw Thailand yang lain namun kehadirannya di saingan domestik pada musim ini menjadi buah mulut peminat takraw Malaysia.
Siapa-siapa yang mengikuti arena sepak takraw Thailand, pemain berusia 17 tahun itu dianggap sebagai salah seorang prospek tekong skuad Gajah Putih susulan gaya permainannya mirip Sittipong Khamchan.
Tangkap layar Insta Story Farhan.
Meskipun jodoh pemain dengan gelaran Mr Ace itu bersama Johor Tigris hanya bertahan selama sebulan namun penyokong dan ketua pasukan, Farhan Adam berharap agar Chayapon kembali menyarung jersi pasukan tersebut.
"Selamat tinggal Chayapon Chanakon. Teruskan berlatih di sana (Thailand). Selepas dua tahun, jangan lupa kembali untuk beraksi di saingan STL," pesan Farhan menerusi Insta Story miliknya pada Selasa.
Sehingga kini, masih tiada perkembangan rasmi mengenai isu kehilangan Chayapon namun Johor Tigris juga sudah mengumumkan ketibaan tekong baharu iaitu Hairul Azizi pada Facebook rasmi mereka.
Kehadiran Hairul diharap dapat membantu memperbaiki kedudukan mereka kerana kini pasukan itu menghuni kedudukan ke-10 liga dengan hanya meraih 10 mata sahaja pada saingan GP Perak baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram