KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) meraih kemenangan besar 7-0 ke atas kelab Liga A1 Semi-Pro, Bukit Tambun FC dalam satu aksi persahabatan tertutup pada Rabu.
Meskipun aksi tersebut sekadar perlawanan persahabatan, pengendalinya, Nafuzi Zain menurunkan barisan terkuat termasuk tonggak import pasukan seperti Sony Norde, Ebenezer Assifuah dan Milos Gordic.
Menariknya aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah itu, Sang Kenari menampilkan persembahan berbeza apabila berjaya menembusi pintu gawang pelawat sebanyak tujuh kali.
BACA LAGI: Pemenang AFF 2010 mahu kembali ke Liga Super, 2 kelab Pantai Timur jadi destinasi
BACA LAGI: Peluang tonton otai beraksi, 3 kelab amatur laung amaran cabar pasukan Liga Super aksi Piala Malaysia
Sang Kenari membelasah Bukit Tambun FC dengan keputusan 7-0. — Facebook/KDAFC
Dalam babak pertama, tiga gol berjaya dihasilkan menerusi Sony Norde, Gordic dan Assifuah yang masing-masing mencetak satu gol.
Bersambung babak kedua, kelab yang dilaporkan berdepan isu kewangan itu terus dahaga memburu jaringan dan berjaya disudahkan sekali lagi oleh Sony Norde dan satu gol menerusi Assifuah.
Sementara itu, baki dua gol lagi disumbangkan oleh Fayadh Zulkifli dan Aiman Afif pada penghujung perlawanan.
Meskipun sudah mencetak gol namun rata-rata penyokong Jelapang Padi itu tidak teruja dengan jaringan yang dicetak oleh Gordic.
Malah, ada yang menyifatkan penyerang kelahiran Serbia itu hanya mempunyai kelebihan mencetak gol dalam aksi persahabatan berbanding perlawanan Liga Malaysia.
Milos sebelum ini sering mencetak gol dalam perlawanan persahabatan antaranya ketika bertemu kelab Indonesia, Malut United FC dalam saingan trofi Cabaran Nusantara 2024 Ogos lalu.
"Standard Milos Gordic ini untuk game friendly saja," kata LIMchai WalaNon Bengap.
"Friendly ini memang makanan Milos, jangan risau semua, Milos selalu sumbat gol masa friendly saja," kata Muaz Muaz.
"Kalau dengan pasukan amatur saja boleh skor bermakna Milos ni standard level liga amatur sajalah kan," kata PENA BOLA KEDAH.
Keputusan itu dijangka mampu memberi suntikan moral kepada Sang Kenari menjelang aksi bertemu Terengganu FC dalam saingan Liga Super pada 19 Oktober. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram