[VIDEO] Satu mata berharga, ‘siuu’ Intan Serah akhiri cerita Sumandak Sabah di pentas AWCL


  • Podium
  • Khamis, 10 Okt 2024

Intan Serah (kiri) dan import Jepun, Eri Narita berjaya melakar nama di pentas Asia selepas masing-masing berjaya mencetak gol bertemu Abu Dhabi Country pada Rabu.

CABARAN Sabah FA dalam Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) berakhir selepas terikat 2-2 berdepan Abu Dhabi Country Club saingan peringkat Kumpulan A di Hankou Cultural Sports Centre, Wuhan China pada Rabu.

Meskipun tersingkir di pentas Asia itu namun skuad bola sepak wanita Sabah FA berjaya mencuri satu mata di pentas AWCL ketika menentang wakil kelab Emiriah Arab Bersatu.

Skuad kendalian Justin Ganai itu berjaya mengejutkan pintu gawang lawan seawal minit ke-10 menerusi tandukan import Jepun, Eri Narita untuk meletakkan The Rhinos mendahului 1-0.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Zaim hang ni...', pengadil tersengih layan kerenah pemain Penang Black Panthers aksi GP Perak

BACA LAGI: STL 2024: 'Batal atau tidak?' Challenge minit akhir cipta drama aksi Kelantan Warriors-NS Antlers

Begitupun, perjalanan Sabah FA menjadi sukar apabila penjaga gawang Sabah, Nurul Azurin Mazlan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan susulan melakukan terjahan keras ke atas pemain lawan pada minit ke-25 untuk Sabah terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Meskipun bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-26, Sumandak Sabah menunjukkan semangat juang tinggi, pantang menyerah dan berjaya mengikat pasukan lawan yang telah menewaskan Wuhan Jiangda dan seri menentang Incheon Red Angels sebelum ini.

Manisnya lagi, bintang Malayan Tigress, Intan Serah Anisah Zulgafli menempah nama sebagai penjaring apabila mencetak gol kedua buat Sabah pada minit ke-77 sekali gus menjadi penutup cerita buat Sumandak di pentas Asia.

Meskipun gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya namun rata-rata penyokong Sabah berpuas hati dengan pencapaian yang berjaya dilakar oleh wakil Malaysia itu.

"Kita akhiri saingan di AWCL dengan mengutip satu mata menentang Abu Dhabi Country Club. Walaupun bermain dengan 10 pemain semenjak minit ke-26, para Sumandak menunjukkan semangat juang tinggi, pantang menyerah dan berjaya mengikat pasukan lawan yang telah menenwaskan pasukan Wuhan Jiangda dan Seri menentang pasukan Incheon Red Angels sebelum ini," kata Sabah FA.

"Sumandak onz. Sepanjang lebih dari 70 minit bermain tanpa seorang pemain, namun boleh menguasai hampir keseluruhan separuh masa kedua.Power sangat, satu mata balik ke Malaysia tanpa penyesalan!," kata Ryner Wong.

"Mantap mainan Sumandak sabah ni kali walaupun tinggal 10 pemain tapi masih mampu memberi tekanan hebat kepada pihak lawan,"kata Nicholas Sinti Daransun

Untuk rekod, Sabah tewas dalam dua aksi pertama menentang Incheon Red Angels 0-3 dari Korea Selatan dan 0-7 menentang pasukan tuan rumah, Wuhan Jiangda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram