
SETAKAT ini, Johor Tigris belum mendapatkan rentak dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 apabila mereka masih belum melayakkan diri ke pusingan suku akhir selepas dua pusingan Grand Prix (GP) berlangsung.
Dalam usaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut, pasukan Selatan itu dilihat sudahpun mencari jalan penyelesaian untuk memperkuatkan kelab dengan membawa masuk pemain baharu.
Menjelang GP Perak yang sudahpun membuka tirainya pada Rabu, Johor Tigris dijangka berwajah baharu apabila dikhabarkan akan menerima khidmat bekas tekong negara.
BACA LAGI: STL 2024: 'Batal atau tidak?' Challenge minit akhir cipta drama aksi Kelantan Warriors-NS Antlers
Tangkap layar menyaksikan nombor 18 menjadi klu pemain baharu Johor Tigris.
Berita baik itu dikongsikan oleh officialjohortigris di laman Instagram pada Rabu.
Meskipun hanya berkongsikan nombor 18 sebagai klu namun rata-rata peminat bola rotan itu sepertinya mengetahui siapakah individu tersebut.
Dalam pada itu, nama bekas tekong negara, Hairul Hazizi Haidzir difahamkan akan mengisi posisi sebagai tekong untuk pasukan Johor Tigris.
Kehadiran Hairul Hazizi dijangka mampu membantu Johor Tigris mencipta kejutan terhadap pihak lawan dalam aksi pertama bertemu KPT Masum-Knight pada pukul 3 petang (Khamis).
Untuk rekod, Hairul Hazizi pernah berada dalam kem skuad sepak takraw negara ke Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou bagi 2023 selain mewakili ATM Guardians musim lalu.
Meskipun begitu, belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dilakukan oleh pihak pengurusan Johor Tigris mengenai berita baik itu.
Dengan prestasi kurang cemerlang ditampilkan oleh Johor Tigris itu, kelab tersebut kini berada di tangga kedua terakhir STL 2024 daripada 12 pasukan dengan tiada mata diperoleh setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram