Ketua balai polis, 2 anggota positif dadah antara 14 individu ditahan di pusat hiburan Cheras


  • 112
  • Ahad, 06 Okt 2024

Omar Khan, berkata, ketiga-tiga anggota polis tersebut telah dipindahkan ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sementara menunggu hasil siasatan.

KETUA balai polis bersama dua anggotanya yang ditahan berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras, awal pagi Sabtu, didapati positif dadah.

Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 37 hingga 57 tahun dan bertugas dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sementara menunggu hasil siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, tiga anggota polis terbabit adalah antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan polis di pusat hiburan itu.

BACA LAGI: Lelaki usia 70 tahun antara 3 suspek ditahan kes kelakuan tak senonoh acara larian kontroversi di Johor

BACA LAGI: 'Terima kasih Bos', belum sampai 24 jam, Jese Rodriguez buat fans Harimau Selatan teruja

"Pemeriksaan mendapati semua 14 individu, termasuk tiga anggota polis, didapati positif dadah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, ketiga-tiga anggota polis dan 11 yang lain telah direman untuk siasatan lanjut.

"Ketiga-tiga anggota polis tersebut telah dipindahkan ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sementara menunggu hasil siasatan.

"Kami juga akan menjalankan tindakan disiplin," katanya.

Tegasnya, pegawai dan anggota dilarang berada di pusat hiburan kecuali atas urusan tugas.

Tindakan tegas termasuk pertuduhan jenayah akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar arahan termasuk terbabit penyalahgunaan dadah. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram