Lelaki usia 70 tahun antara 3 suspek ditahan kes kelakuan tak senonoh acara larian kontroversi di Johor


  • 112
  • Ahad, 06 Okt 2024

Pihak polis berkata, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.

POLIS menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung insiden berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, Johor pada Sabtu.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 39 hingga 70 tahun itu ditahan di sebuah hotel di daerah berkenaan, pada kira-kira pukul 10 malam Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sepasang sari merah, sehelai skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan sebatang tombak tiruan berwarna perak yang dipercayai dijadikan pakaian dan aksesori mereka semasa larian itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah rantai Garnacho, media Indonesia percaya cuma Asnawi seorang mampu kekang Arif Aiman

BACA LAGI: 'Terima kasih Bos', belum sampai 24 jam, Jese Rodriguez buat fans Harimau Selatan teruja

"Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga tangkapan adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.

"Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

"Siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan menggugat ketenteraman awam.

"Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi 07-8831222 atau bilik gerakan 07-8831221," katanya.

Pada Sabtu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa acara tersebut bukanlah anjuran mana-mana agensi kerajaan di negeri ini dan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam.

Onn Hafiz dipetik berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab menganjurkan acara yang menggugat kedaulatan agama Islam di Johor.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi tujuh saat serta beberapa keping gambar program larian yang disertai peserta berpakaian tidak senonoh, termasuk persembahan tarian di sebuah hotel." — The Star/MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram