BENCANA banjir boleh mengakibatkan kesan cukup teruk terhadap mereka yang terkesan apabila ia boleh mengakibatkan kerosakan terhadap barangan peribadi selain merosakkan harta awam.
Masalah itu turut dirasai penduduk Kampung Kubu Gajah, Petaling, Selangor, termasuk Mohd Razali Ali berusia 14 tahun yang mengalami kecederaan patah buku lali akibat bencana terbabit.
Kejadian berlaku ketika dia baru sahaja pulang dari membeli makanan dan sedang berjalan ke arah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh.
BACA LAGI: Mangsa banjir tidak didenda ganti MyKad, sijil kelahiran hilang
BACA LAGI: Dua saluran tersumbat punca banjir Kampung Jalan Kebun
Razali (kanan) mengalami patah buku lali selepas terjatuh ketika dalam perjalanan pulang.
Difahamkan, banjir melanda Kampung Kubu Gajah akibat jumlah air yang terlalu tinggi di Sungai Subang sehingga menyebabkan ia melimpah ke kawasan penduduk berhampiran.
"Kami mahu melihat keadaan rumah kami. Saya dan keluarga sudah berpindah ke PPS sejak Rabu selepas kawasan kami terjejas akibat banjir. Walaupun air sudah surut, kami tidak dibenarkan pulang kerana hujan lebat dijangka berterusan.
"Ketika insiden yang menyebabkan saya patah buku lali, saya sedang dalam perjalanan pulang ke PPS dengan makanan untuk ibu saudara dan datuk nenek saya," kata anak yatim itu.
Ibu saudaranya, Rokiah Yahya berkata, tumpuan keluarga itu ketika ini adalah untuk memastikan buku lali Mohd Razali sembuh segera sambil menjelaskan mereka mahu pulang untuk membersihkan kediaman.
Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan sekitar Selangor menyaksikan seramai 26 keluarga terdiri daripada 101 orang terpaksa dipindahkan ke Dewan Serbaguna Seri Pagi buat sementara waktu.
Mariam (kiri) berserta keluarganya di PPS bersama bayi, Nur Auniaqeela yang berusia beberapa bulan.
Ini termasuk seorang bayi berusia beberapa bulan, Nur Auniaqeela Norul Aei yang dibawa ke kawasan selamat oleh ibunya, Mariam Yahya berusia 34 tahun.
Mariam yang merupakan ibu kepada tujuh anak berkata, dia sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS selepas menyedari aras air mula naik yang dikhuatiri akan mengundang ancaman anak-anaknya.
"Saya terpaksa meninggalkan semua barangan, tetapi sempat membawa sijil lahir anak-anak saya serta kad pengenalan," kata penduduk yang sudah menetap di Kampung Kubu Gajah untuk 20 tahun sambil menegaskan bencana banjir jarang berlaku sebelum 2017.
Mariam juga sempat meluahkan perasaan kecewa atas kelewatan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan menyelesaikan isu banjir berulang di kawasan itu.
"Bayangkan sekiranya kami terpaksa meluangkan masa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha di PPS, inilah betapa teruknya masalah ini terjadi," katanya.
Husin kelihatan sebak melihat keadaan kediamannya yang terjejas akibat banjir.
Seorang lagi penduduk, Husin Ibrahim yang sempat pulang ke kediamannya untuk memeriksa keadaan mengakui berasa sesal kerana berpindah kembali ke kawasan tersebut.
"Rumah saya terletak bersebelahan Sungai Subang, tetapi sudah dirobohkan untuk projek melebarkan sungai. Saya pindah kembali ke sini beberapa tahun lalu kerana memikirkan isu banjir sudah diselesaikan, namun rupanya tidak," katanya.
Dia yang kelihatan kecewa dengan keadaan rumahnya yang dipenuhi lumpur turut berharap, terdapat tindakan daripada pihak berwajib untuk mengurangkan beban dipikul penduduk.
Semasa tinjauan dibuat di tebing Sungai Subang, kelihatan papan tanda dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor di belakang kediaman penduduk yang mengumumkan terdapat projek untuk menyelesaikan masalah banjir di sungai berkenaan.
Najwan (kiri) sempat melawat mangsa yang dipindahkan ke PPS berkenaan.
Berdasarkan maklumat tertera, kerja-kerja jabatan berkenaan sudah bermula sejak 5 Februari lalu dan dijangka siap pada 4 Ogos tahun depan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi yang sempat melawat mangsa banjir di PPS pada Jumaat berkata, pihaknya akan melakukan tinjauan berterusan di kawasan yang sering terjejas dengan masalah itu.
"Selain diberikan tempat tinggal, mereka akan diberikan makanan dan bantuan kesihatan. Kami juga sudah mempersiapkan dua lagi PPS di Dewan Kenanga yang terletak di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling serta di Dewan Bunga Matahari di U5, Shah Alam.
"Kawasan perpindahan ini boleh menempatkan sehingga 265 mangsa sementara Dewan Bunga Matahari boleh memuatkan 48 orang dalam satu-satu masa. Selain itu, mereka yang berdaftar di pusat perpindahan akan menerima RM1,000 dari kerajaan negeri," katanya. — The Star/GRACE CHEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram