Mangsa banjir tidak didenda ganti MyKad, sijil kelahiran hilang


  • Primer
  • Sabtu, 05 Okt 2024

Mangsa banjir yang mahu menukar dokumen pengenalan diri bagi mangsa banjir tidak dikenakan sebarang cas.

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan menggantikan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran tanpa mengenakan sebarang denda kepada mangsa banjir.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa perkara itu dibuat sebagai komitmen kementerian untuk membantu mangsa banjir.

“Sekiranya mangsa banjir tidak dapat menyimpan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan MyKad (yang) hilang atau rosak, datang segera ke pejabat JPN untuk mendapatkan pengganti selepas banjir selesai.

“Sekiranya ada mereka yang terjejas (banjir) baru-baru ini, maklumkan (pegawai terbabit) bahawa anda (salah seorang) terjejas banjir,” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial.

BACA LAGI: Tubuh pendaki solo wanita Malaysia terasa 'shut down', sesak nafas sebelum tawan puncak Everest Base Camp

BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju EBC

Saifuddin Nasution turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terutama sewaktu musim tengkujuh timur laut yang biasanya melanda pantai timur pada penghujung tahun serta mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk arahan pemindahan.

"Evakuasi (jika diarahkan) tepat pada masanya dan jangan berlengah. Bekerjasama (dengan pihak berkuasa) dan sentiasa menjaga diri dan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan RM13 juta sebagai bantuan pasca banjir di Kedah.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa lemas Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang dihanyutkan arus deras ketika banjir di Padang Terap, Kedah baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram