Belanjawan 2025 akan fokus isu inflasi, tingkatkan gaji — PMX


  • Primer
  • Sabtu, 05 Okt 2024

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfokuskan isu inflasi dan tingkatkan gaji sektor awam pada Belanjawan 2025.

KERAJAAN Madani akan menangani isu inflasi dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober nanti, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun harga barangan seperti minyak makan, petrol dan tepung secara relatifnya lebih murah di Malaysia berbanding negara serantau, namun masih terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada peningkatan tahap pendapatan.

"Tahap pendapatan tidak naik (walaupun) produktiviti atau pelaburan meningkat. Kami perlu memberi tumpuan kepada isu ini. Inilah yang saya laksanakan dalam perkhidmatan awam. Kami menaikkan gaji penjawat awam yang telah tidak diberi perhatian sejak 12 tahun lepas.

"Kita perlu menjaga pekerja kita. Kemudian, kita boleh menggunakan dorongan moral terhadap konglomerat sektor swasta. (Sebagai contoh), jika anda mencatatkan keuntungan antara RM1 bilion dan RM4 bilion, anda tidak boleh (mewajarkan) membayar pekerja anda dengan cara sedemikian.

"Oleh itu, saya rasa perlu ada tekanan untuk menaikkan tahap pendapatan kerana, walaupun terdapat kebimbangan mengenai harga, ia adalah kerana gaji yang rendah,” kata beliau kepada CNBC dalam satu temu bual.

BACA LAGI: Mangsa banjir tidak didenda ganti MyKad, sijil kelahiran hilang

BACA LAGI: Tubuh pendaki solo wanita Malaysia terasa 'shut down', sesak nafas sebelum tawan puncak Everest Base Camp

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan kadar inflasi Malaysia pada Ogos 2024 mereda kepada 1.9 peratus tahun ke tahun, berada sedikit di bawah jangkaan.

Menurut DoSM, inflasi pada Ogos didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.1 peratus) serta rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0 peratus).

Mengenai gaji penjawat awam, sebelum ini, Anwar telah mengumumkan kenaikan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Ini adalah pelarasan gaji yang pertama dalam tempoh 12 tahun dan merupakan langkah yang tepat pada masanya berdasarkan keadaan ekonomi semasa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram