SELANGOR Pistons sudah menunjukkan kebersediaan untuk mengharungi cabaran Kumpulan C dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Perak yang akan membuka tirai pada 9 Oktober nanti.
Kelab dari Lembah Klang yang diundi dalam Kumpulan C bersama juara musim lalu, Perak Bison dan PDRM Defenders dilihat tidak tertekan dengan jadual peringkat kumpulan itu.
Menariknya Kumpulan C GP Perak kali ini, Selangor Pistons dan Perak Bison boleh dianggap 'jodoh kuat' apabila bakal bertemu untuk kali ketiga selepas sebelum ini bertemu di GP Selangor dan GP Terengganu dalam peringkat kumpulan.
BACA LAGI: [VIDEO] Kedudukan jatuh mendadak, bekas tekong Thailand dirindui saat regu Johor Tigris tak menjadi
Terdapat kejutan yang akan dibawa oleh Selangor Pistons menjelang GP Perak.
Meskipun begitu, jalan cerita kedua-dua pasukan itu berbeza apabila Selangor Pistons gagal mengekang serangan juara bertahan STL musim lalu.
Dalam pada itu, pengurusnya, Syahril Mohd Rashid berkongsi harapannya agar anak-anak buahnya mampu mengetepikan cabaran Perak Bison di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak nanti.
"Selangor Pistons sudah bertemu dengan Perak Bison dua sepanjang perlawanan STL dan telah tewas dua kali.
"Namun, kami tetap berusaha keras dan ingin mencapai kemenangan kerana ini adalah pertemuan kali ketiga dalam STL," katanya kepada Majoriti.
Melihat kepada rekod pertemuan dua GP sebelum ini, Selangor Pistons gagal menewaskan Perak Bison.
Syahril turut mendedahkan beberapa kesilapan mudah yang dikenal pasti sering dilakukan oleh anak-anak buahnya dalam dua GP sebelum ini.
"Walaupun kami tewas, ia bukanlah kekalahan yang mudah kerana terdapat beberapa kesilapan kecil yang dilakukan oleh pasukan kami dan itulah yang membezakan kami daripada Perak Bison.
"Kami perlu memastikan agar bahagian pertahanan diperbaiki dan mencuri peluang yang ada.
"Kami melihat Perak Bison mempunyai kelebihan dan kekurangan sama macam kami tetapi apa yang kami boleh lihat mereka memiliki satu pasukan yang lengkap jika dibandingkan dengan kami," ujarnya.
Dijadual bertemu kali ketiga di GP Perak, Syahril yang juga merupakan Pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall enggan mengulangi episod hitam dalam dua GP sebelum ini.
"Untuk kami berhadapan dengan Perak Bison kali ketiga ni, kami sudah mengetahui banyak perkara mengenai pasukan lawan dan pastinya kami tak nak mengulangi kesilapan kerana ini merupakan perlawanan yang sangat penting," jelasnya.
Sebahagian aksi 'killer' Selangor Pistons (depan) ketika cuba menahan rejaman daripada Perak Bison.
Bercakap mengenai strategi menjelang aksi GP Perak nanti, Syahril turut berkongsi pasukannya itu akan ada banyak perubahan terutamanya dari susunan pemain selepas membuat penilaian sebagai persediaan bertemu Perak Bison.
"Selepas berakhirnya GP Terengganu tempoh hari, kami terus membuat post-mortem dan mengenal pasti kelemahan-kelemahan utama pasukan.
"Tunggu dan lihatlah untuk GP Perak nanti tapi apa yang pasti perubahan dari segi susunan pemain akan berlaku.
"Pada peringkat kami, kami masih mengkaji dan memastikan agar percaturan yang kami lakukan adalah tepat untuk menewaskan Perak Bison bagi perlawanan pertama nanti," katanya.
Bercakap mengenai kelebihan Perak Bison yang akan beraksi di rumah sendiri, Syahril berkata, keistimewaan itu tidak menghalang anak-anak buahnya untuk meraih kemenangan dalam GP Perak kali ini.
"Sudah tentu bermain dengan tuan rumah akan beri kelebihan kepada pasukan itu sendiri tetapi kami juga berjaya membuktikan sebagai pasukan pelawat kami mampu memberi saingan kepada lawan.
"Sebagai contoh masa GP Terengganu, walaupun kami tewas aksi suku akhir kepada Terengganu Turtles sehingga tercetusnya kontroversi saat-saat akhir tapi kami mampu memberi saingan sengit.
"Selangor Pistons tak pernah gentar dengan mana-mana pasukan tuan rumah apatah lagi beraksi bertemu Perak Bison nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram