[VIDEO] Kedudukan jatuh mendadak, bekas tekong Thailand dirindui saat regu Johor Tigris tak menjadi


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Johor Tigris bagaikan hilang taring tanpa Rattadech musim ini apabila tewas dalam GP Selangor dan GP Terengganu di peringkat kumpulan.

MENJELANG saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 yang bakal memasuki Grand Prix (GP) Perak, sudah pasti semua pasukan melakukan persiapan lebih rapi untuk mendapatkan keputusan positif.

Dalam dua GP sebelum ini iaitu GP Selangor dan GP Terengganu, Kuala Lumpur (KL) Thunder tunjuk taring apabila muncul juara bagi kedua-dua aksi tersebut.

KL Thunder yang dibarisi oleh pemain kebangsaan antaranya Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), jelas berada di kelas tersendiri selepas menundukkan juara STL musim lalu, Perak Bison (15-7,15-12) bagi GP Selangor dan Terengganu Turtles (15-7,15-11) untuk GP Terengganu (2-1).

BACA LAGI: Isu pengadilan 'berjangkit' ke sepak takraw, fans harap GP Perak bukan reff sama di Terengganu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Killer' terpaksa pulang sekejap ke Thailand, Penang Black Panthers tak gentar harungi kumpulan maut STL GP Perak

Bagaimanapun, cerita berbeza berlaku di negeri Selatan apabila pasukan Johor Tigris terus terkandas di peringkat kumpulan.

Dalam dua GP sebelum ini, Johor Tigris gagal mencatatkan sebarang kemenangan dan gagal menempah tiket ke suku akhir.

Ketika GP Selangor, Johor Tigris yang berada di Kumpulan C tewas kepada Negeri Sembilan Antlers dan PDRM Defenders.

Nasib malang terus menghantui Johor Tigris apabila terus tunduk di GP Terengganu selepas tewas kepada ATM Guardians dan Kelantan Warriors.

Susulan kekalahan tersebut, ramai peminat Johor Tigris mula meluahkan kerinduan kepada bekas tekong import, Rattadech Noijaroen.

Rattadech yang merupakan import Thailand itu pernah beraksi buat Johor Tigris dalam saingan STL musim 2023 sebelum mengambil keputusan untuk tidak bersama pasukan itu musim ini.

"Jatuh mendadak kedudukan Johor Tigris, apa nak jadi?," kata Adam Razis Salman.

"Rattadech diperlukan untuk selamatkan Johor Tigris ketika ini, jatuh sangat dah ni," kata Muhamad Zaki Alfasirmazi.

"Patutnya Rattadech terus beraksi buat Johor Tigris, tengok tekong sekarang serba tak menjadi," kata Aiman Hakim.

Dengan prestasi yang kurang cemerlang ditampilkan oleh Johor Tigris itu, kelab tersebut kini berada di tangga kedua terakhir STL 2024 daripada 12 pasukan dengan tiada mata diperoleh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram