PERTIKAIAN mengenai jadual Liga Super 2024/25 berterusan apabila baru-baru ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai pengelola masih belum dapat mengeluarkan jadual penuh.
Berdasarkan senarai dikeluarkan pada Selasa, jadual yang diumumkan hanya merangkumi aksi sehingga minggu ke-14 sehingga yang ke-16 dengan kedua-dua aksi itu berlangsung selama dua bulan.
MFL dalam kenyataan yang disebarkan di media sosial turut menegaskan senarai perlawanan penuh masih belum diputuskan berikutan perubahan tarikh Piala AFF pada Disember depan.
BACA LAGI: 'Elok lagi Liga Kemboja', MFL terus dikecam hebat akibat jadual liga tak tersusun
BACA LAGI: Perubahan tarikh Piala AFF sukarkan MFL 'adjust' jadual baki musim 2024/25
"MFL hanya menerima makluman berkenaan perubahan tarikh tersebut daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 28 Ogos lalu yang secara tidak langsung menjejaskan perancangan awal kalendar Liga Malaysia pada Disember, di mana pihak MFL terpaksa merangka kembali jadual berkenaan," katanya.
Perkhabaran itu sekali gus menerima maklum balas kurang senang daripada peminat yang berasakan badan pengelola tersebut tidak menjalankan tugas baik demi memastikan kelancaran Liga Super musim ini.
Malah, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim yang beranggapan kesukaran MFL merangka jadual efisien menyulitkan kelab untuk melakukan perancangan.
"Pasukan yang bertanding ini tidak akan dapat membuat perancangan jangka masa panjang dan melaksanakan pelan berdasarkan apa yang sudah dikeluarkan MFL. Jadi, ini akan mengganggu pasukan-pasukan.
Zulakbal yakin kelewatan itu menimbulkan isu buat pasukan Liga Super.
"Contohnya, bagi jurulatih, mereka sudah pasti mahu merancang sesi dan objektif latihan kerana mereka sudah tentu mempunyai sesuatu yang mahu dicapai," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan jadual diterbitkan, perlawanan minggu ke-14 Liga Super akan berlangsung dari 25 sehingga 27 Oktober dengan pertemuan antara Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC menjadi tumpuan utama.
Selain itu, MFL turut mengumumkan aksi timbal balik pusingan 16 pasukan Piala Malaysia juga akan diadakan pada November dengan Liga Malaysia juga akan 'berehat' sebentar bagi perlawanan antarabangsa.
Dalam pada itu, Zulakbal yang merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris turut setuju perubahan tarikh Piala AFF hanya menyebabkan kesukaran MFL mengeluarkan jadual lengkap.
"Berdasarkan apa yang saya lihat dari segi perubahan tarikh dan cabaran MFL menerbitkan jadual penuh, saya nampak ini memang mengganggu. Kesukaran dialami badan tersebut juga akan memberi kesan terhadap pasukan bertanding.
"Ini kerana masing-masing tidak dapat membuat keputusan dan gerak kerja teratur. Mereka tidak boleh meletakkan sasaran dan objektif sesuai sehingga penghujung musim," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram