KETIKA dunia politik tanah air sibuk dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala Sabtu sebagai hari penamaan calon, industri sukan Malaysia pula dikejutkan dengan berita tergempar yang tak kurang hangat.
Dari sukan nombor satu tanah air iaitu bola sepak sehingga ke acara berbasikal, semua berita tersebut tak habis ditelan lagi oleh penyokong dan sehingga kini semua isu itu masih hangat dibincangkan oleh mereka di platform media sosial.
Pastinya notifikasi telefon pintar penyokong industri sukan tanah air minggu ini sarat dengan berita terkini yang mana setiap daripadanya memberi kejutan demi kejutan kepada rakyat Malaysia.
Lebih parah lagi, berita tergempar yang menemui peminat sukan tanah air pada minggu ini juga membuatkan ada sebahagian penyokong menjadi tidak sebulu dan masing-masing daripada mereka mempunyai pandangan peribadi sendiri.
Mengimbau semula apa yang terjadi sepanjang minggu ini, berikut Majoriti menyenaraikan lima berita menggemparkan penyokong sukan tanah air;
1) Bojan Hodak letak jawatan
Piala pertama dan pentas final pertama KL City di bawah kendalian Bojan. — Facebook/KLCity
Tiada angin, tiada ribut namun secara tiba Kuala Lumpur (KL) City FC mengumumkan Bojan Hodak melepaskan jawatannya sebagai pengendali skuad Warga Kota dan kini sudah menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung.
Pengendali dari Crotia itu dilantik mengemudi KL City pada musim 2021 dan Bojan dianggap sebagai jurulatih paling berjaya untuk The City Boys apabila berhasil membawa kelab itu ke tiga pentas final bagi tiga tahun berturut-turut.
Dibawah kendalian pengendali berusia 52 tahun itu, skuad Warga Kota menjuarai Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan Johor Darul Takzim 2-0, menjadi naib johan Piala AFC 2022 dan terbaharu membawa The City Boys ke penyas akhir Piala FA musim 2023.
Rentetan penghijrahan Bojan ke negara jiran, bekas pengendali Penang FC, Nenad Bacina diumumkan sebagai pengendali baharu Warga Kota dan dia juga bukan orang asing dalam skuad berikutan pernah menyandang jawatan sebagai penolong ketua jurulatih KL City.
2) MFL kembalikan sistem relegation
Setakat 17 perlawanan, Kelantan menghuni kedudukan terbawah Liga Super dengan mengumpul lima mata. — Facebook/TRW
Pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membawa khabar menakutkan kepada pasukan terbawah Liga Super apabila mengumumkan bahawa akan menyingkirkan dua kelab yang menduduki tangga tercorot ke Liga M3 pada musim berikutnya.
Pengumuman tersebut diberitahu sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga MFL, Datuk Stuart Ramalingam pada Selasa yang mana beliau turut menyatakan pasukan dari Liga M3 berpeluang untuk bertanding ke saingan Liga Super pada musim depan.
Difahamkan juara Liga M3 akan layak secara automatik dengan naib juara liga bakal berdepan pasukan kedua tercorot Liga Super dalam perlawanan penentuan play-off dah perkara itu boleh berlaku dengan melihat pada kelulusan pelesenan kelab terbabit.
Jika dilihat pada keadaan kedudukan sekarang, empat pasukan yang berada dalam zon bahaya ialah Kelantan United FC, Kuching City FC, Perak FC dan Kelantan FC.
3) Faisal Halim digantung perlawanan
Faisal digantung selama sebulan oleh FAM. — Facebook/SelangorFC
Bukan kerana jaringan tapi nama penyerang sayap kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim minggu ini menjadi topik utama apabila digantung selama satu bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pemain berusia 25 tahun itu didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi komennya ketika sesi temu ramah media selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu 27 April lepas.
Mengikut keputusan, Faisal digantung empat bulan (25 Julai ini hingga 21 November) namun dia hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos) dengan penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguhkan, tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan bermula 24 Ogos.
Selepas pengumuman tersebut, Faisal ataupun pemain yang mesra dengan sapaan Mickey itu juga sempat berkongsi hantaran kepada peminatnya berhubungan dengan nasib kurang memihak kepada dirinya.
'ALLAH tidak pernah tidur' antara luahan Faisal yang dikongsikan kepada penyokong bola sepak tanah air pada laman Instagram peribadinya.
4) Misbun Sidek berpisah lagi dengan BAM
Misbun mencapai persetujuan bersama BAM untuk mengundur diri daripada badan induk tersebut.
Jodoh antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia Datuk Misbun Sidek terlerai apabila kedua-dua pihak bersetuju secara bersama untuk berpisah berkuatkuasa pada Jumaat.
Timbalan Presiden BAM Datuk V. Subramaniam berkata, keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh beliau susulan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia (AJC) yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Skuad remaja negara pada AJC 2023 di Yogyakarta menampilkan persembahan hambar apabila tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran dan tiada seorang pemain pun layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan
Misbun yang menyertai semula badan induk sukan badminton tanah air itu untuk kali kedua pada 2017, sepatutnya mempunyai kontrak dengan badan induk badminton negara itu sehingga akhir tahun ini.
5) LTdL tiada dalam kalander UCI
LTdL difahamkan tidak berada dalam kalander UCI.
Acara tahunan sukan berbasikal, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 mengejutkan peminat dan bakal peserta apabila difahamkan perlumbaan tersebut tidak lagi berada dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).
Berdasarkan laporan The Star, badan induk dunia UCI mengecualikan acara berbasikal jalan raya terbesar di tanah air itu kerana bertembung dengan Sukan Asia Hangzhou dari 23 September-8 Oktober dalam kalendar untuk tahun ini.
Kesedihan peminat LTdL tidak bertahan lama apabila acara tersebut akan tetap diteruskan seperti dirancang selepas Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yang turut menyatakan dirinya akan ke Glasgow untuk menghadiri mesyuarat bersama UCI.
Sebelum ini, Presiden Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab pernah menzahirkan kebimbangannya bahawa LTdL mungkin tidak dapat berlangsung tahun depan berikutan pembayaran tertunggak yang tidak dibuat oleh penganjur terdahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,