Cedera kulit kaki dan tangan, Azizulhasni kembali berlatih demi pingat Piala Asia


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Sebelum ini, Mohd Azizulhasni terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan sebagai persiapan ke temasya Sukan Asia. — RTM

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang kembali menjalani latihan ringan di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad susulan kemalangan dialaminya pada Jumaat lepas.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill sekali gus memberi petanda positif jaguh keirin dunia itu kekal dalam landasan memburu pingat di Sukan Asia 2022 Hangzhou, China bermula 23 September ini.

"Saya telah bercakap sendiri dengan jurulatihnya John Beasley yang sahkan Azizulhasni cedera ringan di bahagian kulit dekat kaki serta tangannya akibat kemalangan tersebut serta menerima rawatan daripada Institut Sukan Negara (ISN) sejak beberapa hari ini.

"Saya juga diberitahu beliau juga telah kembali ke velodrom dan menjalani latihan ringan jadi ia satu petanda yang baik, lagi-lagi Sukan Asia akan bermula tidak lama lagi," katanya.

Amarjit berkata demikian selepas majlis pengumuman Tourism Malaysia sebagai antara penaja utama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Ahad.

Amarjit berkata, kembalinya Mohd Azizulhasni menjalani latihan di Velodrom Nasional dalam masa sama telah mengambil kira kecederaan ringan dialaminya susulan kemalangan tersebut yang disahkan berlaku akibat kegagalan mekanikal tayar basikal.

"Memandangkan beliau telah diberi kebenaran untuk kembali ke velodrom menjalani latihan, saya percaya ia merupakan keputusan menyeluruh diambil pelbagai pihak termasuk beliau sendiri, jurulatih serta doktor yang merawatnya," katanya.

Pada Sabtu lepas, The Pocket Rocketman berkongsi video berdurasi 35 saat, memaparkan beliau terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan sebagai persiapan ke temasya Sukan Asia yang akan berlangsung 23 September hingga 8 Oktober ini.

Terdahulu, pada majlis itu Tourism Malaysia tampil dengan jumlah penajaan berjumlah RM1 juta merangkumi pelbagai program promosi selain menaja jersi Raja Bukit bagi perlumbaan tersebut yang akan bermula di Kerteh,Terengganu pada 23 September ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram