YBR beri bantuan buat 500 pelajar, 16 sekolah di Sungai Buloh


  • Massa
  • Ahad, 29 Sep 2024

(Barisan belakang, dari kiri) Syaiful Rizal, Ramanan, Young Syefura, dan Setiausaha Sulit Kanan Ramanan, Datuk Anbumani Balan tersenyum untuk bergambar bersama beberapa penerima manfaat pelajar daripada program YBR.

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan pendidikan kepada sekolah dan pelajar di sekitar Kota Damansara bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan sepanjang sesi persekolahan.

Lima sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sekitar Sungai Buloh menerima tajaan Tuisyen Rakyat bernilai RM50,000, 11 sekolah kebangsaan (SK) menerima bantuan RM55,000 serta bantuan persekolahan kepada 500 pelajar sekolah yang berjumlah RM50,000 melalui Program Penyerahan Insentif Pendidikan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bantuan ini bertujuan membantu pihak sekolah bagi memantapkan lagi tahap pencapaian pelajar melalui pelaksanaan program pendidikan serta bantuan tunai kepada pelajar daripada kalangan asnaf dan keluarga B40 dalam meningkatkan tahap akademik murid-murid untuk sesi persekolahan bagi 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sekarang macam ini ke?', pembeli hairan pemaju hanya beri 'point' kipas untuk bilik

BACA LAGI: Hizbullah sahkan Hassan Nasrallah terkorban dalam serangan udara Israel

Penyerahan insentif pendidikan ini telah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan di Dewan MBPJ Seksyen 7 Kota Damansara.

Turut hadir dalam sesi penyampaian adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Young Syefura Othman; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Ketua Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na'im Arifin.

Sementara itu, Ramanan berkata, bantuan itu diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid melalui program-program pendidikan yang mampu meningkatkan prestasi Gred Purata Sekolah (GPS) serta pencapaian pelajar.

"Saya amat berterima kasih kerana YBR berterusan membantu pelajar dan sekolah-sekolah di Sungai Buloh dan secara tidak langsung dapat meringankan bebanan kewangan ketua keluarga dalam menyediakan kelengkapan pembelajaran kepada anak-anak," katanya.

Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong pula berkata, pemberian bantuan itu dapat membantu ibu bapa dan pihak sekolah menyuntik semangat kepada anak-anak serta memudahkan pihak sekolah mengendalikan program-program yang dapat memberi input tambahan terhadap prestasi pembelajaran pelajar," katanya.

"Bantuan Tuisyen Rakyat yang disalurkan kepada pihak sekolah ini dapat membantu sekolah mengadakan kelas tambahan secara percuma khususnya kepada pelajar Tingkatan 5 sebagai pecutan akhir sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Jelas Young Syefura lagi, usaha itu adalah inisiatif dalam membantu masyarakat terutama dalam bidang pendidikan dan sebagai salah satu strategi YBR dalam membantu komuniti setempat.

Hingga September 2024, seramai 24,306 murid dan 226 buah sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan sekolah dan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.94 juta membabitkan 65 lokasi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram