Tak sampai 24 jam hilang Reziq Hani ke Jordan, Selangor FC ada muka baharu sertai sesi latihan


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

Bersama Selangor, Reziq tampil dalam 10 perlawanan dan menjaringkan dua gol buat Gergasi Merah.

PENGUMUMAN mengejutkan pihak pengurusan Selangor FC berkenaan perpisahan dengan pemain sensasi Jordan, Reziq Bani Hani pastinya mengundang 1,001 persoalan dalam kalangan penyokong Gergasi Merah.

Manakan tidak, pemain berusia 22 tahun itu tampil cemerlang membantu serangan Selangor setiap kali diberikan peluang oleh Nidzam Jamil dalam 10 penampilan terakhirnya.

Dua jaringan dan satu bantuan gol membuktikan keputusan Selangor untuk menebus kontrak Reziq daripada Al-Faisaly SC ialah keputusan yang berbaloi.

BACA LAGI: Ramon Marcote cabar CEO MFL beri nafas baharu, berani eksport pemain tempatan ke Eropah

BACA LAGI: Enam daripada 11 tak senyum, fans Kedah sudah 'predict' awal keputusan lawan KL City

Namun begitu, sebelum diberikan peluang oleh Nidzam, Reziq banyak bermula daripada bangku simpanan dan ini mungkin menjadi punca utama pemain itu memilih untuk keluar daripada Selangor.

Dengan usia yang begitu muda, Reziq memerlukan minit permainan tinggi untuk terus dipanggil oleh Jamal Sellami bagi mewakili skuad kebangsaan Jordan bagi kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026.

Bekas kapten Bawah-23 Tahun (B-23) Jordan itu sudah pun sah kembali ke negara kelahirannya dengan menyertai Al-Hussein SC sekali gus bakal beraksi bersama Mahmoud Al-Mardi yang pernah berbakti di bumi Darul Aman.

Keputusan yang dibuat oleh Selangor itu dilihat seperti sudah ada jalan penyelesaiannya apabila Nidzam mula memanggil beberapa pemain skuad B-23 Selangor untuk menjalani latihan bersama pemain senior.

Antara bintang muda yang dipanggil oleh Nidzam ialah Abdul Rahman Daud, Harry Danish dan beberapa pemain lain.

Ini menunjukkan Nidzam sudah mempunyai pelan B untuk menggantikan Reziq kerana Rahman Daud dan Harry Danish merupakan pemain di bahagian serangan.

Untuk rekod, Rahman Daud telah menjaringkan tiga gol dalam enam penampilan di Piala MFL, manakala Harry Danish pula meledak dua jaringan di kejohanan yang sama.

Pada Jumaat (13 September), Selangor akan melayani kunjungan Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan misi bawa pulang tiga mata penuh untuk memperkukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

Dengan Muhammad Faisal Halim yang masih belum cergas sepenuhnya, menjadi persoalan siapakah pemain muda akan menggantikan Reziq untuk beraksi di bahagian kiri pasukan menjelang perlawanan menentang Kuching pada Jumaat nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram