ERIK ten Hag membalas kritikan Cristiano Ronaldo yang mendakwanya tidak bercita-cita tinggi, sebaliknya menegaskan bekas bintang Manchester United itu tidak tahu situasi sebenar di Old Trafford kerana bermain di Arab Saudi.
Ronaldo, yang meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dua tahun lalu dan menyertai Al-Nassr selepas mengkritik Ten Hag serta kelab, kembali mencetus ketegangan dengan pengendali dari Belanda itu.
Ten Hag berkata, Ronaldo tidak sepatutnya mengakui pasukannya tak akan memenangi Liga Perdana Inggeris.
BACA LAGI: 'Siapa yang setuju?', penyokong Terengganu FC berang tak guna peluang balas dendam Selangor
"Dia berkata begitu, yang Manchester United tidak mampu memenangi Liga Perdana Inggeris. Dia berada jauh di Saudi, jauh dari Manchester, jadi semua orang berhak memberikan pandangan dan mempunyai pendapat sendiri. Tidak mengapa," kata Ten Hag.
Ten Hag sekali lagi mengharungi permulaan musim yang sukar, tewas dua daripada tiga perlawanan pertamanya menjelang aksi di Southampton pada Sabtu.
Manchester United tidak pernah tewas tiga aksi liga berturut-turut sejak 2015 ketika di bawah kendalian Louis van Gaal.
Ten Hag percaya ada beberapa faktor yang mempengaruhi permulaan hambar pasukannya, namun pada masa sama menganggap tidak patut ada alasan untuk membenarkan kegagalan itu berlaku di Old Trafford.
"Kita akan lihat di mana kedudukan kami pada Mei tahun depan. Ia masih awal musim dan yang penting ialah memenangi trofi, berada di kedudukan terbaik liga dan melakukan apa sahaja untuk memenangi setiap perlawanan," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram