Usah bimbang keadaan padang SNBJ, Hannah Yeoh kongsi venue sebenar konsert Maroon 5


  • Podium
  • Selasa, 10 Sep 2024

Permukaan padang SNBJ dilihat menjejaskan permainan skuad kebangsaan pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024. β€” Facebook/FAM

KEADAAN padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur baru-baru ini mencuri tumpuan lagi apabila permukaannya dilihat menjejaskan permainan skuad kebangsaan pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila ada pemain Harimau Malaya seperti pertahanan tengah, Dominic Tan terpaksa menanggung akibatnya sehingga terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan dengan Feroz Baharudin.

Kejadian menimpa bek tengah Sabah FC membuatkan pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee tampil menegur pihak pengurusan stadium mengenai keadaan padang di gelanggang rasmi skuad kebangsaan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] OKS 'sound' SNBJ lepas bek Sabah jadi mangsa padang rosak

BACA LAGI: 'Jangan paksa anak cuaca tak menentu', legenda Selangor nasihat ibu bapa selepas remaja rebah dan meninggal dunia

Memetik ciapan di laman Twitter (X), Kim Swee yang juga sebelum ini merupakan pengendali kebangsaan bukan hanya melahirkan kebimbangannya mengenai keselamatan pemain, malah imej negara di mata dunia.

Kritikan keadaan padang yang kini menggunakan rumput jenis zeon zoysia itu sudah hangat dibincangkan sejak tahun lalu apabila SNBJ sering dipilih menjadi venue konsert melibatkan artis dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, kerosakan ke atas permukaan padang dijangka tidak akan berlaku lagi apabila Stadium Hoki Nasional difahamkan akan menjadi venue bagi lebih banyak konsert pada masa akan datang.

Khabar berita itu dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sambil beliau mengesahkan bahawa kumpulan muzik pop terkenal dari Amerika Syarikat, Maroon 5 akan mengadakan konsert di stadium tersebut pada 12 Februari 2025.

Untuk info, Kuala Lumpur menjadi salah satu daripada siri jelajah Maroon 5 Asia 2025 selain daripada Filipina, Indonesia, Bangkok, Jepun dan Taiwan dari Januari hingga Februari tahun hadapan.

β€œIni merupakan keputusan yang tepat apabila KBS (Kementerian Belia dan Sukan) membuka Stadium Nasional Hoki untuk konsert.” tambahnya sambil memuat naik hantaran mengenai Maroon 5 di Instagram Story akaun peribadinya.

WhatsApp Image 2024-09-10 at 17.19.06

Tangkap layar Insta Story dari Hannah.

Kenyataan dari Hannah itu seolah-olah memberi bayangan bahawa gelanggang Harimau Malaya tidak lagi menjadi mangsa penganjuran konsert dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya pada aksi skuad kebangsaan.

Pada ketika ini, tiada sebarang larangan oleh KBS atau Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mengadakan konsert di SNBJ namun satu moratorium yang menghalang sebarang pemasangan struktur pentas di atas rumput telah dikeluarkan sekitar awal April lalu. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram