PELUMBA basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengesahkan dia tidak akan bertanding dalam temasya Olimpik 2028 setelah berkali-kali bersaing dalam kejohanan tersebut.
Dalam satu video dimuat naik Zaki Zainal, atlet yang juga dikenali sebagai The Pocketrocket Man itu mengumumkan perkara tersebut sambil menegaskan dirinya masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya.
"Apabila saya pulang, saya ada bertemu dengan penaja lain dan masing-masing sibuk. Memang ada banyak tawaran dari dalam dan luar negara untuk melatih dan sebagainya, tetapi masih terlalu awal untuk saya buat keputusan," katanya.
BACA LAGI: Azizulhasni seperti anak, sudah pasti saya akan lakukan segalanya untuk bantu — John Beasley
BACA LAGI: Azizulhasni kena fikir masak-masak sebelum bersara, Dhabitah boleh lupakan Los Angeles 2028
Meskipun tidak berkongsi mengenai destinasi kejurulatihannya, Australia dan beberapa negara sekitar Eropah sudah tentu menunjukkan minat terhadapnya.
Pada temasya Olimpik Paris, Azizulhasni tersingkir dalam acara keirin dalam pusingan kelayakan faktor teknikal yang sememangnya sukar diterima ramai.
Namun, pengikut setia sukan tempatan tidak menyalahkan atlet berusia 36 tahun itu yang sudah mengharumkan nama negara selama bertahun-tahun dalam dunia basikal trek.
Ini termasuk kejayaan memperolehi pingat perak dalam acara keirin ketika di Olimpik Tokyo 2020 serta emas dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung di Hong Kong pada 2017.
Jadi, dengan usianya sudah semakin lanjut, pengumuman itu pasti diterima orang ramai dengan hati terbuka apabila masing-masing juga mahu menyaksikan bakat baharu.
Ketika ini, negara sudah memiliki Shah Firdaus Sahrom yang juga bersaing dalam temasya Olimpik Paris dengan dia sudah tentu menjadi sandaran bagi mengulangi legasi Azizulhasni.
Tetapi, melihat kepada rekodnya setakat ini, masih terlalu jauh baginya untuk mencapai kejayaan pernah dikecapi The Pocketrocket Man, baik dalam acara pecut mahupun keirin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
MENYUSUL...