KUCHING City FC mengutip tiga mata berharga untuk kekal di kedudukan keempat Liga Super 2024/2025 dengan menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 1-0 di Stadium Negeri, Sarawak pada Isnin.
Gol tunggal perlawanan yang diadakan dalam keadaan hujan itu dijaringkan pada minit ke-36 oleh Jordan Mintah yang menanduk masuk hantaran dari Amir Amri Salleh dari sebelah kanan pintu gol Kelantan.
Kuching City menguasai sebahagian besar perlawanan itu dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya namun ketangkasan penjaga gol KDN FC, Khatul Annuar Md Jalil telah mengecewakan pasukan tuan rumah untuk menambah jaringan.
BACA LAGI: Cemerlang bersama Terengganu FC, Akhyar Rashid tanya Eyka Farhana ‘kita bila lagi?’
BACA LAGI: Habib Haroon ucap selamat tinggal, bakal kembali ke Liga Bahrain
Kekalahan di Stadium Negeri itu merupakan yang kelapan bagi Kelantan dan mengekalkan mereka di tangga tercorot Liga Super.
Kekalahan itu sekali gus mengundang rasa marah penyokong Kelantan yang menganggap Kijang Emas hanya pasukan belasahan.
Malah ada juga penyokong yang lebih rela melihat Kelantan tiada dalam peta bola sepak Malaysia daripada terus menjadi lubuk tiga mata pasukan lain.
"Pasukan lubuk, sembilan perlawanan dah lapan kali kalah. Sekadar pelengkap jadual," kata Pok Yie.
"Teruskan momentum kekalahan biar dapat masuk Liga M3 kalau tak nak ubah pemain tempatan dan jurulatih, pemain tempatan tak ada kualiti langsung," ujar Mohamad Shahrul.
"Skrip sama sampai habis musim, tahu-tahu hilang dari radar," jelas KD Cobrra Nurul Ehsan.
"KDN FC nyawa-nyawa ikan dah, baik tak ada daripada ada, kalau ada pun buat serabut sahaja," luah Ikram Ammar.
Dalam pada itu, Penolong Jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya pula berpendapat pemain-pemain Kijang Emas sudah mula menunjukkan peningkatan.
"Kami telah menunjukkan sesuatu yang positif, saya gembira pemain telah melakukan banyak peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini.
"Ya, penjaga gol mereka menafikan beberapa cubaan tepat dan jelas kami tidak bernasib baik.
"Saya percaya jika kami mengekalkan keadaan ini, kami dapat memberikan sesuatu kepada KDN FC pada perlawanan selepas ini," katanya.
Terdahulu, Rezal Zambery yang menggantikan pengendali utama, Park Jae-hong yang tidak dapat hadir ke Sarawak kerana masalah teknikal ditundukkan dengan jaringan tunggal tuan rumah menerusi tandukan jarak dekat Jordan Mintah pada minit ke-37 perlawanan.
Jaringan Mintah kekal sehingga tamat perlawanan meskipun pemain Kelantan berusaha memberi tekanan sehingga wisel tamat dibunyikan pengadil bertugas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram