Rekod 250 gol sepanjang karier, kisah hilang 2 batang gigi 'The Boss' Mirnawan Nawawi


  • Podium
  • Ahad, 25 Ogos 2024

Mirnawan kehilangan dua gigi ketika membantu skuad hoki negara menduduki tempat kelapan dalam Piala Dunia 2002.

ARENA sukan Malaysia acap kali memperingati legenda bola sepak tanah air sehingga kadang-kala melupakan atlet-atlet lain yang sudah mengharumkan nama negara di persada dunia.

Tidak salah untuk kita terus memperingati jasa dan keringat legenda bola sepak seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh dan beberapa figura masyhur lain yang pernah mengharumkan nama Harimau Malaya sehingga digeruni kuasa besar bola sepak seperti Brazil dan Argentina.

Namun sukan hoki juga mempunyai sosok legenda yang pernah membawa The Speedy Tiger ke pentas Olimpik sebanyak tiga kali iaitu Datuk Mirnawan Nawawi atau lebih dikenali sebagai 'The Boss'.

BACA LAGI: Dua kelab EPL berebut beli ramai pemain lelongon Lyon, bintang Olimpik jadi buruan

BACA LAGI: 'Satu Malaysia pandang pengadil', fans ‘warning’ Nazmi Nasaruddin jangan buat kesilapan mudah

Dilahirkan pada 19 September 1971, Mirnawan merupakan bekas pemain hoki kebangsaan yang berasal dari Melaka.

Sejak berumur lima tahun, Mirnawan sudah berjinak-jinak dengan dunia sukan apabila mula mengikuti latihan renang bersama bapanya.

Bukan sahaja renang, Mirnawan juga menceburi sukan bola sepak dan hoki bagi kekal aktif di zaman persekolahannya itu.

Pada 1986, apabila sesi akedemik sudah selesai, untuk mengisi waktunya Mirnawan mencuba nasib dalam sesi pemilihan pemain untuk mewakili Kuala Lumpur dalam sukan hoki B-15 untuk kejohanan antara negeri-negeri seluruh Malaysia yang dilangsungkan di Johor.

Beliau mengejutkan orang ramai apabila berjaya dipilih untuk mewakili Kuala Lumpur.

Dalam kejohanan itu, Mirnawan membantu pasukannya muncul sebagai naib johan selepas tewas kepada tuan rumah di perlawanan akhir itu.

Boleh dikatakan ia merupakan titik permulaan Mirnawan mengukir nama dalam sejarah hoki bukan sahaja Malaysia bahkan dunia.

Bekas kapten The Speedy Tigers itu telah bermain di pentas Olimpik sebanyak tiga kali, Piala Dunia dua kali dan Piala Asia tiga kali.

Kejayaan Liga Domestik

Di Liga Hoki Malaysia, Mirnawan telah memenangi empat kejuaraan dengan empat pasukan yang berbeza Kelab Hoki Tenaga Nasional pada 1991-1992, Yayasan Negeri Sembilan HC pada 1996, MPPJ pada tahun 1997 dan BSN pada 2000.

Pada 2001, Mirnawan memenangi Piala MHL dan muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 19 gol tetapi kehilangan gelaran liga kepada Tenaga Nasional Berhad.

Malah, Mirnawan kehilangan dua gigi ketika membantu skuad hoki negara menduduki tempat kelapan dalam Piala Dunia 2002.

Pada 2004, beliau merangkul kejuaraan liga bersama Sapura, sebelum menggantungkan kayu hokinya dengan Telekom Malaysia pada 2005.

Semasa kariernya Mirnawan berjaya menjaringkan 250 gol untuk karier hokinya.

Mirnawan

Mirnawan berjaya menjaringkan 250 gol untuk karier hokinya.

Peringkat Antarabangsa

Pada 1988, Mirnawan yang ketika itu berusia 17 tahun menjadi sebahagian daripada skuad Piala Dunia Remaja yang beraksi dalam MHL.

Mirnawan telah bermain dalam tiga Sukan Olimpik Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000, tiga Sukan Asia Beijing 1990, Hiroshima 1994 dan Bangkok 1998, Trofi Juara-Juara dan dua Piala Dunia di Utrecht 1998 dan Kuala Lumpur 2012.

Dalam penampilan Olimpik terakhirnya, Mirnawan dipilih sebagai Pembawa Bendera Kontinjen Malaysia untuk Majlis Perasmian Sukan Olimpik Sydney 2000.

Beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi beraksi di peringkat antarabangsa pada 2002 selepas memperolehi 327 kaps.

Mirnawan juga merupakan pengurus untuk Projek Skuad 2013 yang muncul sebagai juara Piala Junior Asia 2012.

Jawatankuasa Road To Gold

Selepas mengharumkan nama negara di persada dunia, Mirnawan dilantik untuk jawatankuasa Road To Gold (RTG) bagi membantu negara mencapai matlamat memenangi pingat emas Olimpik yang pertama buat Malaysia.

Mirnawan dilantik bersama-sama beberapa personaliti legenda sukan negara lain seperti Datuk Nicol Ann David dan Datuk Lee Chong Wei.

Beliau dipilih berdasarkan kepakaran serta pengalaman yang tidak ternilai dan menjadi jambatan kukuh di antara Jawatankuasa dengan atlet RTG yang dipilih.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria menubuhkan program itu bertujuan untuk persediaan atlet elit bersaing di Olimpik Paris 2024. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram