PENGENDALI interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente gembira bintang Harimau Malaya, Muhammad Faisal Halim sudah kembali beraksi di atas padang susulan berehat panjang akibat kecederaan disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada Mei lalu.
Pau Marti yang mengambil alih jawatan pengendali Harimau Malaya dari Kim Pan-gon itu mahu Faisal fokus tempoh pemulihannya dan mendapatkan minit permainan tinggi bersama Selangor.
BACA LAGI: Pau Marti kekal resipi Kim Pan-gon, rahsiakan taktikal Harimau Malaya untuk Pestabola Merdeka 2024
BACA LAGI: Pertembungan 'reunion' ex import, Svay Rieng bawa rekod cemerlang jumpa Terengganu
"Saya rasa tidak adil untuk bercakap mengenai pemain apatah lagi membandingkan pemain-pemain lain.
"Tetapi dalam hal ini, perkara pertama yang saya nak cakap, saya sangat gembira dia bermain semula.
"Dia (Faisal) telah menunjukkan kekuatan dan karakter yang bagus untuk semua orang mengambil contoh daripadanya.
"Apa yang boleh kami cakap, kami sangat bangga dan telah berhubung dengannya dari semasa ke semasa.
"Saya telah berjumpa dan bercakap dengan dia, untuk buat masa sekaranG saya rasa dia perlu fokus untuk tempoh pemulihannya.
"Fokus untuk kecergasannya, bola sepak dan mendapatkan minit permainan bersama Selangor," katanya dalam sidang media pengumuman skuad Harimau Malaya ke Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM pada Rabu.
Dalam pada itu, Pau Marti turut mengumumkan Juan Torres Garrido sebagai pembantu jurulatih dan berharap jurulatih itu dapat membantu Harimau Malaya.
"Saya rasa kami semua sudah lama mengenali Juan untuk tempoh masa yang lama.
"Akhirnya kami berkerjasama, saya rasa kedatangan dia mampu membantu kami untuk menolong barisan jurulatih Harimau Malaya sedia ada.
"Tinggal satu langkah untuk bantu kami buat persiapan dan membawa pasukan itu ke langkah seterusnya.
"Saya mengharapkan dia (Juan) dan semua barisan jurulatih mampu berikan yang terbaik dan mendapat keputusan positif untuk Harimau Malaya," ujarnya.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu Separuh Akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, pukul 9.00 malam.
Satu lagi perlawanan Separuh Akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari sama, pukul 4.30 petang.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di final pada Ahad, 8 September 2024, pukul 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada Separuh Akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, pukul 4.30 petang.
Pestabola Merdeka 2024 merupakan antara persiapan awal skuad Harimau Malaya sebelum saingan kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 bermula hujung tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram