[VIDEO] 'Dalam bersyukur saya marah', loceng lif sudah ditekan berkali-kali, bapa kecewa pengawal keselamatan lambat respons anak terperangkap 10 jam dalam lif


  • Tular
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Dua kanak-kanak lelaki berkenaan ditemui selamat. — Facebook

BAPA salah seorang kanak-kanak lelaki yang disangka hilang sebelum rupa-rupanya terperangkap hampir 10 jam di dalam lif di sebuah apartmen di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada awal pagi Selasa kecewa dengan kelewatan tindakan pihak pengawal keselamatan memberikan respons berhubung situasi itu.

Dalam dalam satu komen di Facebook, Mohd Zaidi Zakaria kecewa dengan pihak pengurusan apartmen tersebut khususnya pengawal keselamatan bertugas.

"Pukul 12.20 pagi baru nak tengok CCTV, dari terperangkap sekitar pukul 2.30 petang, loceng lif berfungsi dah ditekan berkali-kali tapi tiada respons dari luar.

"Untuk makluman, saya bapa kepada salah seorang anak yang terperangkap itu, dalam syukur saya, berkesempatan juga saya marah dengan sekuriti yang bertugas kerana sambil lewa buat pemantauan. Alhamdullilah semuanya selamat," tulisnya di Facebook.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua budak hilang hampir 10 jam lepas beli pau di Desa Petaling rupanya terperangkap dalam lif

BACA LAGI: [VIDEO] Anak beranak dibunuh dengan kesan kelar dalam longkang, polis Kedah cekup suami dekat masjid sejauh 20km

WhatsApp Image 2024-08-20 at 13.44.20

Dua kanak-kanak lelaki berkenaan ditemui selamat. Facebook

Belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan apartmen tersebut setakat ini.

Pada Selasa, media melaporkan dua kanak-kanak dilaporkan hilang hampir 10 jam pada Isnin akhirnya ditemui selepas mereka rupanya hanya terperangkap di dalam sebuah lif hampir pukul 1 pagi Selasa.

Penemuan kedua-dua mangsa, Faiq Adiwira, 11, dan Muhammad Harith Absyar, 10, hasil pemantauan televisyen litar tertutup (CCTV) yang ada dalam lif di apartmen tersebut.

Menerusi rakaman yang tular di media sosial, kelihatan dua kanak-kanak itu dipercayai telah tidur dalam lif berkenaan selepas terperangkap dalam tempoh yang agak lama.

Dua kanak-kanak yang bersekolah di SK Desa Petaling itu dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 2 petang untuk membeli pau namun sehingga pukul 7 malam, mereka masih belum pulang ke rumah.

Keluarga yang bimbang dengan keselamatan kedua-dua budak malang tersebut akhirnya menemui mereka terperangkap dalam lif berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Sigh berkata, kedua-dua kanak-kanak malang terbabit dipercayai terperangkap hampir 10 jam dalam lif berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya turut menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu, sambil mengesahkan kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram