Ledak 2 gol berdepan Kedah, import skuad Jang enggan berasa selesa


  • Podium
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Kedah dan Negeri Sembilan berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 di Stadium Darul Aman pada Sabtu. — Facebook/MFL

KEDAH Darul Aman (KDA) FC terus kempunan untuk mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut apabila sekadar seri 2-2 berdepan Negeri Sembilan FC saingan Liga Super 2024 pada Sabtu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah itu menyaksikan pemain tengah skuad Jang, Jacques Faye muncul wira apabila membantu pasukannya mengikat Sang Kenari dengan keputusan 2-2.

Meskipun hanya meraih satu mata namun bagi skuad Jang, ia merupakan poin yang berharga bagi NSFC yang baru sahaja menerima suntikan semangat baharu di bawah kendalian K.Nanthakumar.

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Borneo bersaudara, sama-sama nyanyi lagu Bekikis Bulu Betis ketika Sabah tewaskan Sarawak raih emas takraw SUKMA

BACA LAGI: Masih belum sah, fans JDT, Selangor dan Penang tak sabar 3 rumors perpindahan jadi kenyataan

WhatsApp Image 2024-08-19 at 11.16.59

Faye (kiri) muncul wira ledak dua gol bantu skuad Jang ikat Sang Kenari. — Facebook/MFL

Import kelahiran Senegal itu membantu skuad Jang menjaringkan dua gol pada minit ke-45 dan ke-79, manakala jaringan Kedah pula dicetak oleh Sony Norde dan pertahanan tengah kelahiran Brazil, Cleylton dos Santos.

Untuk tiga perlawanan liga sebelum ini, skuad Jang gagal meraih sebarang mata selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut.

“Permulaan yang baik di bawah pengendali baharu, berdasarkan perlawanan menentang Kedah, saya percaya pasukan ini boleh melakukan lebih baik dalam perlawanan yang seterusnya.

“Jurulatih dan pasukan banyak membantu saya untuk mendapatkan gol semasa perlawanan tersebut.

“Saya percaya semua jurulatih mempunyai visi dan misi yang sama iaitu mendapatkan mata sebanyak mungkin untuk pasukan dan begitu juga dengan jurulatih Nantha.

“Bagi prestasi saya, walaupun menjaringkan dua gol ketika menentang Kedah, saya belum boleh gembira. Kami perlu terus bermain sebagai satu pasukan," kata Faye yang juga merupakan bekas pemain PDRM FC musim lalu.

Untuk rekod, Faye pernah beraksi dalam Selangor Champions League (SCL) selain menyertai beberapa kelab lain seperti Melawati FC dan FC Pulapol sepanjang bertahun-tahun mewarnai arena bola sepak sosial negara.

Skuad Jang kekal di tangga ke-12 dengan empat mata, manakala Kedah di tangga kelapan dengan lapan poin selepas lapan perlawanan liga berlangsung. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram