Hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan diluluskan tahun ini — Saifuddin Nasution


  • Primer
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Saifuddin dilaporkan berkata KDN menyasarkan untuk menyelesaikan dan membuat keputusan 17,000 permohonan kewarganegaraan pada tahun ini.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan setakat ini, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, berdasarkan data terkumpul dari 2012, 75 peratus daripada kelulusan permohanan tersebut di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan anak tidak sah taraf, anak jagaan dan anak angkat.

BACA LAGI: 'Cukup-cukuplah', Wee Ka Siong gesa bank turunkan kadar 'merchant fee'

BACA LAGI: Jasad Nidza Afham tiada kecederaan fizikal, kematian diklasifikasi SDR

"Bakinya daripada Perkara 15 (2) (Perlembagaan Persekutuan) macam yang Family Frontiers (Malaysia) perjuangkan, mak warga Malaysia anak lahir luar negara kerana suami warga asing. Jadi itu sementara kita nak pinda perlembagaan, membolehkan anak-anak ini dapat secara automatik atau kuat kuasa undang-undang.

"Kes kedua, isteri warga asing berkahwin dengan suami warga tempatan, jadi mereka ini juga setelah tujuh tahun, boleh memohon untuk menjadi warga negara, mereka berkahwin di sini, tinggal di sini, mereka beranak-pinak di sini. Jadi, mereka mohon warganegara, jadi itu juga kategori yang beri kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Dalam Negeri pada Khamis.

Pada persidangan Dewan Rakyat 1 Julai, Saifuddin dilaporkan berkata KDN menyasarkan untuk menyelesaikan dan membuat keputusan 17,000 permohonan kewarganegaraan pada tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia untuk berganding bahu bagi mengatasi kes penggunaan dron untuk tujuan mengedar dadah di dalam penjara.

"Saya telah pun meminta kedua-dua agensi ini berganding bahu bagi mengekang gejala ini, kerana itu sangat memudaratkan. Bukan sahaja ia menjadi satu kesalahan dari segi Akta Dadah (Berbahaya 1952), pengedaran dadah, tetapi orang sasarannya pula penjara yang merupakan satu institusi atau program pemulihan, jadi itu sangat tidak wajar,” katanya.

Pada Isnin, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesan tujuh kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke dalam penjara seluruh negara, sepanjang tahun ini.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin dilaporkan berkata kes itu membabitkan dua kes masing-masing di Kedah dan Melaka serta satu kes masing-masing di Perak, Kelantan dan Sarawak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram