TANGISAN dan wajah kegembiraan pemain perseorangan badminton wanita Korea Selatan, An Se-young ketika meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris pada awal bulan lalu rupanya menyimpan pengalaman hitamnya bersama Persatuan Badminton Korea (BKA).
Menerusi pendedahan oleh media Korea iaitu Maekyung (MK), Se-young pernah menjadi mangsa buli dari segi mental dan fizikal selama tujuh tahun ketika bersama skuad kebangsaan Korea Selatan.
Memetik laporan berkenaan, pemain berusia 22 tahun berkenaan menjadi mangsa diskriminasi seperti diarah untuk melayan semua permintaan seniornya seperti mencuci pakaian dan membetulkan tali raket.
BACA LAGI: Aniq Kasdan lupakan kekecewaan Olimpik Paris, tak buang masa berlatih demi Komanwel Fiji
BACA LAGI: [VIDEO] Gagal 'angkat' pingat emas, Hannah Yeoh anggap Aniq ikon sukan terbaharu negara
“An Se-young menderita kerana tidak mendapat perawatan yang sepatutnya ketika mengalami kecederaan selain disuruh untuk mencuci baju serta mengemas bilik pemain senior selama tujuh tahun," kata MK.
Pemain berkenaan menyertai latihan badminton kebangsaan Korea Selatan pada 2017 ketika dia masih berada di sekolah menengah rendah. Disebabkan usianya yang muda itu, dia menjadi mangsa buli senior di BKA.
Menurutnya, masanya banyak dirugikan ketika bersama pasukan kebangsaan kerana dihabiskan untuk membuat kerja di luar skop badminton dan bukannya berehat terutamanya selepas menjalani latihan.
Rentetan layanan buruk tersebut, ibu bapa Se-Young telah berjumpa dengan pihak pengurusan BKA pada Februari lalu, namun ia tidak membuahkan hasil yang positif buat pihak mereka.
“Ibu bapa Se-young telah memohon agar masalah ini diselesaikan, terutamanya mengenai beban tugas yang dihadapi oleh anak mereka di perkampungan atlet.
“Se-young juga menuntut perubahan menyatakan bahawa dia tidak dapat berehat dengan sepatutnya selepas latihan kerana dibebani tugas-tugas remeh," tambah laporan MK mengenai layanan buruk yang diterima Se-young.
Selepas membuat pendedahan mengenai situasinya di BKA, Menteri Kebudayaan Sukan dan Pelancongan Korea telah mengambil maklum mengenai perkara ini dan bakal menjalankan siasatan ke atas badan sukan itu.
Se-young menyertai latihan badminton kebangsaan Korea Selatan pada 2017. — Instagram/Seyoung
Dalam pada itu, Se-yong tidak menafikan bahawa layanan buruk berkenaan yang menyebabkan dia bermotivasi besar untuk mendapatkan pingat emas bagi membuktikan kepada BKA.
"Saya telah bersedia untuk ini sejak mula bersama pasukan kebangsaan pada 2018. Kemarahan yang mendorong saya untuk menetapkan matlamat dan mencapai impian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram