NAMPAK mudah tapi realitinya memang susah.
Fizikal yang sasa saja belum cukup menjanjikan lemparan yang berkualiti, apatah lagi meraih pingat.
Teknik yang betul dan kekuatan mental juga amat ditagih bagi seorang atlet lempar cakera untuk memastikan setiap balingan membuahkan hasil.
BACA LAGI: Atlet Hulu Selangor pecah 24 rekod MSSD termasuk 2 catatan usia 14 tahun
BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil dipukul pemain MSSD: KFA tunggu laporan penuh JPN Kedah
Seperti dilalui atlet Sekolah Sukan Negeri (SSN), Muhammad Danial Najmi Mohd Munir, tempoh dua tahun 'berkenalan' dengan sukan olahraga tersebut tanpa diduga melonjak namanya dalam acara itu.
Dengan pencapaian terbaharu memecah rekod sendiri di kejohanan Majlis Sukan-Sukan Peringkat Daerah (MSSD) kali ke-52 2024, Danial melakar catatan baharu menerusi lemparan sejauh 39.59 meter (m) mengatasi rekod lamanya, 38.47m pada tahun lalu.
Mula terlibat dalam acara lempar cakera pada usia 15 tahun, Danial tidak sangka niatnya secara suka-suka bertanding dalam kejohanan sama pada 2022, membuka rezeki buatnya mendapat tawaran ke SSN.
"Sebenarnya terjadi tiba-tiba sebab tak minta pun main sukan ni, tapi rezeki dapat tawaran.
"Saya mula main masa Tingkatan 3, saya hanya cuba tapi tak sangka menang. Dari situ saya main untuk MSS Selangor (wakil daerah) dan dapat tawaran sekolah sukan," katanya kepada Majoriti.
Atlet SMK Serendah yang bersaing dalam acara lempar cakera.
Mengulas tentang rekod baharunya, anak sulung dari lima beradik itu mengakui dia masih belum berpuas hati dan mahu mencatat pencapaian yang lebih baik.
"Secara peribadi, saya tak puas hati sebab untuk rekod kejohanan kali ini tapi masih boleh terima sebab dapat pecah rekod sendiri.
"Saya perlu berlatih lebih kuat lagi untuk MSSS jika mahu pergi lebih jauh.
"Saya tahu ada pencabar yang kuat dari daerah lain dan kalau boleh mahu cipta lagi rekod di peringkat lebih tinggi," katanya yang sebelum ini pernah mencatat rekod peribadi sejauh 45m.
Bagi merealisasikan impiannya itu, Danial tahu bahawa sokongan yang kuat amat diperlukan termasuk dari keluarga, guru dan rakan di sekeliling.
Maka tidak hairanlah, anak kelahiran Kuala Kubu Bharu itu menanam impian bagi membalas jasa kepada pihak yang menyokongnya selama ini.
"Saya mahu balas jasa keluarga saya dan banggakan daerah saya yang banyak bantu saya dari kosong sampai sekarang," ujar yang bercita-cita untuk menjadi chef satu hari nanti bagi mewarisi bakat neneknya dalam masakan.
Menyentuh soal keseimbangan antara bersukan dan pelajaran, Danial berkata, amat penting bagi seorang atlet mempunyai mental yang kuat bagi mengharungi cabaran pembahagian masa.
"Saya berlatih setiap hari kecuali Ahad. Biasanya latihan bermula pukul 3.30 petang lepas habis sesi persekolahan.
"Untuk bagi seimbang, dalam diri sebagai atlet kita kena ada displin dan pandai urus masa.
"Jangan putus asa, kalau penat, jangan layan penat tu, teruskan saja hidup," katanya menitip pesanan buat mereka yang mahu bergelar atlet. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram