PERSIAPAN Liverpool bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 masih terbantut selepas kelab berkenaan masih belum melakukan sebarang rekrut sepanjang jendela perpindahan.
Pelantikan Arne Slot sebagai pengurus baharu menggantikan Jurgen Klopp boleh dikatakan punca atas kelewatan berkenaan dengan analisis menyeluruh masih sibuk dilakukan terhadap pasukan.
Namun, kerja-kerja di sebalik tabir difahamkan masih diteruskan apabila The Reds dilaporkan sedang dalam usaha membawa masuk pemain Real Sociedad, Martin Zubimendi.
BACA LAGI: Rupanya buat kerja, Liverpool sedang buru bintang Euro England kuatkan pertahanan
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah beraksi di Piala Asia, 'Messi Jepun' kini selangkah ke Liverpool
Zubimendi membantu Sepanyol meraih kejuaraan dalam saingan Euro 2024. — Agensi
Dia yang merupakan pemain tengah bertahan cukup sesuai dalam acuan Arne Slot untuk digandingkan di bahagian tengah bersama Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister.
Bakat Zubimendi mula diiktiraf ramai selepas pemain berusia 25 tahun berkenaan berada dalam skuad Euro 2024 bersama Sepanyol yang menjuarai pertandingan berkenaan.
Tetapi, sehingga hari ini, masih tiada sebarang pengesahan berkaitan perpindahan terbabit memandangkan majikan semasanya meletakkan tanda harga sehingga €60 juta (RM291.1 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.
Malah, Arne Slot yang sebelum ini mengendalikan Feyenoord turut berdiam diri mengenai khabar angin tersebut ketika ditanya selepas aksi persahabatan menentang Sevilla FC di Anfield.
"Anda boleh berikan saya senarai mengandungi ratusan pemain," katanya yang enggan menjawab persoalan mengenai kehadiran pemain itu ke Liverpool dalam masa terdekat.
Thiago (depan) dan Matip sah meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan kali ini. — Agensi
Selain The Reds, beberapa kelab Eropah turut berminat dengan Zubimendi, termasuk Arsenal dan Barcelona yang masing-masing sudah ditolak pemain tengah berkenaan.
Ini sekali gus menguatkan lagi khabar angin bahawa jeneral tengah terbabit sudah memilih untuk menjadi pemain pertama disambar Liverpool pada jendela kali ini.
Meskipun masih belum menandatangani mana-mana pemain, pasukan bimbingan Arne Slot itu sudah kehilangan beberapa tonggak pasukan seperti Joel Matip dan Thiago Alcantara.
Selain itu, mereka juga dikhabarkan bakal kehilangan khidmat pemain muda, Fabio Carvalho yang akan menyertai kelab EPL, Brentford berdasarkan laporan media antarabangsa kebelakangan ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram