[VIDEO] Nasib baik depan orang ramai, wanita cedera diserang bekas teman lelaki dalam pasar raya di Butterworth


  • 112
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Tangkap layar memaparkan situasi tegang di sebuah pasar raya di Bagan Ajam, Butterworth yang menyaksikan insiden pergelutan antara seorang wanita dengan bekas teman lelakinya di sebuah pasar raya di Butterworth pada Ahad lepas.

SEORANG wanita berdepan detik cemas selepas bekas teman lelakinya bertindak menyerangnya dengan pisau di sebuah pasar raya di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, suspek kemudian berjaya ditahan orang awam yang berada di kawasan itu.

"Tangkapan semula dibuat oleh Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Butterworth untuk tindakan reman. Suspek akan didakwa dengan kadar segera di mahkamah selepas menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya ," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: Harga diesel turun 5 sen, RM3.30 seliter mulai Khamis

BACA LAGI: Shamsul Azri dilantik Ketua Setiausaha Negara ganti Mohd Zuki

Dalam kejadian pukul 8.45 malam itu, mangsa warga tempatan berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut untuk melepaskan diri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular di beberapa platform media sosial berhubung insiden pergelutan antara seorang wanita dengan bekas teman lelakinya.

Dalam kejadian itu, suspek mengacukan pisau sementara tangan kirinya merangkul leher mangsa.

Orang ramai yang berada di lokasi kemudian menenangkan suspek sebelum mereka bertindak menahan lelaki itu dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Terdapat kesan tompokan darah di lantai pasar raya susulan kecederaan dialami mangsa ekoran insiden terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram