Pelancong warga China maut, anak lelaki cedera dirempuh kereta di Melaka


  • 112
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

Seorang lelaki warga China maut selepas dirempuh kereta di Jalan Syed Abdul Aziz.

SEORANG lelaki warga China maut manakala anak lelakinya cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Syed Abdul Aziz menghala ke persimpangan lampu isyarat Mahkota Parade, Melaka pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 9.15 malam itu, Lyu Yongqian, 53 maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala anak lelakinya berusia 12 tahun cedera di bahagian dagu dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Toyota Camry berusia 55 tahun dalam perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Kota Laksamana menghala ke Melaka Raya untuk menghantar makanan kepada rakannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Terkhilaf laung 'hidup Israel', TPM mohon maaf selepas berucap di Himpunan Pembebasan Palestin

BACA LAGI: PMO panggil META beri penjelasan punca turunkan kandungan berkaitan isu Palestin

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu berkenaan tidak nampak dua pejalan kaki yang juga anak-beranak melintas dari arah belakang bangunan Mahkota Parade menghala pulang ke tempat penginapan mereka di sebuah hotel berhampiran lokasi kejadian.

"Kereta berkenaan merempuh kedua-dua pejalan kaki berkenaan dan seorang daripadanya mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi iaitu anak lelakinya berusia 12 tahun cedera.

"Pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala kanak-kanak lelaki berkenaan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua beranak itu melancong ke negara ini sejak 5 Ogos lalu dan menginap di Melaka satu malam selepas melawat Kuala Lumpur sebelum pulang semula ke China.

"Polis turut mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram