PMO panggil META beri penjelasan punca turunkan kandungan berkaitan isu Palestin


  • Primer
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Anwar berucap semasa Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium AXIATA Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad. — Facebook/Anwar Ibrahim

META Platforms Inc (META) dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri pada Isnin (5 Ogos) untuk memberi penjelasan berhubung tindakan menyekat beberapa hantaran di Facebook dan Instagram Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berkaitan ucapan takziah dikongsi Perdana Menteri kepada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran minggu lalu.

Gangguan sama berlaku sekali lagi pada Ahad ke atas siaran langsung sempena Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium AXIATA Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: TPM, Menteri Kabinet ucap tahniah buat Aaron-Wooi Yik menangi pingat gangsa

BACA LAGI: Belum ada calon, Ketua Setiausaha Negara baharu diumum dalam masa terdekat — PM Anwar

Menerusi laporan The Star, difahamkan, Perdana Menteri sendiri mahu mendengar penjelasan lanjut daripada META berhubung beberapa tindakan gangguan serta sekatan ke atas akaun media sosialnya itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada minggu lalu memaklumkan META sedang menyiasat berhubung sekatan itu.

Fahmi berkata, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu juga memberitahu agak keliru dengan sekatan itu, namun tiada penjelasan lanjut diberikan.

Semakan di akaun Facebook Anwar sebelum ini mendapati, tiga hantarannya bagi mengutuk pembunuhan Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama pemimpin Hamas, turut disertakan dengan kapsyen ‘Dangerous individuals and organisations’.

Instagram pula memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi ‘simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram