[VIDEO] Tak kira warna, bukan mudah raih pingat di Olimpik — Roslin Hashim


  • Podium
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Gandingan Aaron Chia dan Wooi Yik menghadiahkan satu daripada dua pingat dibawa pulang negara dari temasya Olimpik.

SELEPAS dua minggu temasya Olimpik 2024 berlangsung, kontinjen negara baru sahaja membawa pulang dua pingat gangsa yang kedua-duanya dihadiahkan kem badminton negara.

Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia yang menewaskan peserta dari India, Lakhsya Sen sudah tentu menjadi bahan bualan selepas wakil negara itu tampil dengan persembahan cukup baik.

Selain itu, gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang berentap dalam kategori beregu lelaki juga tidak pulang dengan tangan kosong selepas menundukkan beregu Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup.

BACA LAGI: [VIDEO] Tangisan Carolina buat penonton sebak, pemain badminton Sepanyol tarik diri akibat cedera

BACA LAGI: Misi emas badminton tak tercapai, Zii Jia tewas kepada juara dunia

WhatsApp Image 2024-08-08 at 6.03.43 PM

Zii Jia merupakan seorang lagi atlet yang mengharumkan nama negara dalam temasya Olimpik.

Pulangan daripada kontinjen kali ini boleh dikatakan kurang memberangsangkan sekiranya hendak dibandingkan dengan persembahan edisi-edisi lalu.

Sekiranya di temasya Olimpik 2020, pasukan negara pulang dengan senyuman selepas meraih satu pingat perak yang disumbang Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan gangsa menerusi Aaron Chia dan Wooi Yik.

Pencapaian berkenaan sekali gus menimbulkan persepsi bahawa pulangan atlet kali ini belum di peringkat terbaik sehingga ada yang beranggapan wakil negara terlalu mudah berpuas hati.

Pandangan itu diberikan melihat kepada keraian dilakukan di media sosial, lebih-lebih lagi apabila segelintir penyokong mula membandingkan kedudukan wakil kebangsaan dengan negara-negara jiran.

Bagaimanapun, menurut legenda badminton negara, Roslin Hashim, sukar bagi mana-mana atlet untuk meraih pingat di temasya Olimpik berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

WhatsApp Image 2024-08-08 at 6.05.57 PM

Roslin Hashim mengakui debaran dan kesukaran beraksi di temasya Olimpik.

"Kita bukanlah hendak menilai pengorbanan mereka, tetapi sudah tentu bukan mudah nak dapatkan walaupun pingat gangsa sahaja. Cuma, mungkin belum sampai masa untuk mereka meraihnya.

"Mungkin kita lihat secara kasar dan luaran, mungkin kita kena tahu perasaan atlet sendiri kerana mereka yang terlibat dan bermain dan saya percaya masing-masing mahukan pingat emas itu," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, meskipun harapan atau sasaran sudah berada di hadapan seseorang atlet, sukar bagi atlet untuk membawa pulang kerana cabaran besar perlu dihadapi terutamanya di pertandingan seperti temasya Olimpik.

Sepanjang kariernya, Roslin pernah berada di puncak apabila berada di kedudukan nombor satu dunia selain berpeluang beraksi di temasya Olimpik 2004 di Athens, Greece.

2843251

Pencapaian negara dalam temasya Olimpik perlu diraikan. Facebook/BAM

Meskipun ditunjukkan jalan keluar awal oleh Soni Dwi Kuncoro dari Indonesia, pengalaman itu sudah tentu cukup berharga dengan dia kini giat melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan badminton.

Dalam pada itu, pemain badminton kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut berkata, penghargaan masih perlu diberikan kepada mana-mana atlet selain tidak mempertikaikan persembahan masing-masing.

"Apa yang sudah dilakukan mereka, kita perlu berikan kredit kepada atlet. Bukanlah kita mahu terlalu selesa dengan pencapaian ini kerana sudah tentu, Olimpik diadakan setiap empat tahun dan kita sasarkan emas, tetapi masih belum perolehnya.

"Tetapi, untuk ketika ini, walaupun kita dapat pingat gangsa, bagi saya itu pun sudah cukup baik sebenarnya kerana untuk dapatkan pingat bukanlah sesuatu yang mudah," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram