PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri tidak berjaya meraih pingat buat Malaysia pada aksi akhir acara terjun 3 meter (m) papan anjal individu wanita dalam saingan Sukan Olimpik Paris 2024 pada Jumaat.
Dhabitah terpaksa berpuas hati di tempat terakhir apabila hanya mencatat 244.80 mata keseluruhan dalam lima terjunan dilakukan pada aksi final di Pusat Akuatik Saint-Dennis di Paris, Perancis.
Seperti ramalan, penerjun dari China, Chen Yiwen, meraih pingat emas dengan kutipan 376.00 mata sementara pingat perak menyaksikan penerjun Australia, Maddison Keeney dengan mata pungutan 343.10.
BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan
Gangsa menjadi milik seorang lagi atlet China, Chang Yani dengan memungut 318.75 mata.
Pada terjunan pertama, senyuman cantik terpapar pada wajah Dhabitah apabila terjunan hampir sempurnya membantu dia menduduki tangga ketiga dengan mengumpul 63.0 mata.
Begitu pun, dua terjunan seterusnya menyaksikan sedikit penurunan dengan masing-masing 60.0 dan 37.5 mata, meletakkan Dhabitah di tangga ke-12 selepas terjunan ketiga.
Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu seakan-akan hilang fokus pada terjunan keempat dengan mengumpul 28.50 mata pada darjah kesukaran 3.0, membaiki kedudukan ke tangga ke-12.
Pada terjunan terakhir pula, Dhabitah meningkatan mutu terjunanannya dengan mengumpul 55.80 mata.
Terdahulu Dhabitah mara ke final selepas menamatkan aksi separuh akhir A di sebelah pagi dengan catatan 318.20 mata.
Setakat ini, Malaysia sudah mengumpul dua pingat gangsa yang masing-masing diperoleh menerusi acara badminton oleh pemain beregu kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram