
BUKAN semua pemain bola sepak khususnya wanita akan mendapat peluang sama untuk mengejar cita-cita bagi mengembangkan karier ke pasaran luar negara lagi-lagi jika melihat kepada saiz fizikal dan skil dengan tonggak di sana.
Ibarat satu dalam 1,000, Qaseh Rania Khairul Najib boleh dianggap prodigi bagi bola sepak wanita tanah air apabila sudah mendapat peluang untuk menyertai sesi percubaan di kelab gergasi Eropah, VfL Wolfsburg selama enam minggu.
Fizikal hampir menyamai ketinggian tonggak luar negara, mempunyai naluri yang baik dan sikap tenang dimiliki Qaseh Rania menjadikan anak jati Puchong, Selangor itu jauh lebih istimewa jika dibandingkan dengan pemain tempatan wanita lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelah kaki ke Jerman, anak muda Puchong membara sarung jersi Harimau Malaya
Pujian itu dilontarkan sendiri oleh Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew yang mempercayai pemain muda terbaik dalam Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tersebut mempunyai kemampuan setaraf tonggak senior.
“Rania mempunyai tinggi yang sangat baik. Dia mempunyai instinct yang sangat baik. Saya telah melihat gol-gol yang dia hasilkan. Ketiga, dia sangat tenang. Pada umur 14 tahun ini, tidak banyak pemain perempuan seperti dia.
“Kami melihat dia mampu untuk berjaya. Dia mempunyai kemampuan ini. Dia berlatih dengan sangat gigih, Dia berlatih siang malam di bawah bimbingan ayahnya. Saya melihat kemampuannya di depan mata.
“Pasukan penilaian kami di Jerman akan menilainya. Mereka akan memberi penilaian kepada dia untuk melihat kemampuan dia sebagai seorang pemain bola sepak,” katanya yang temui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada Selasa.
Ken Hew ditemui ketika mengiringi Qaseh Rania di KLIA bersama Penasihat Wolfsburg Asia Tenggara, Datuk Frank Steinleitner dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Incorporated) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor.
Sebelum menempuh sesi latihan percubaan selama enam minggu bersama pemenang dua kali Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL) pada 2013 dan 2014 itu, Ken Hew juga sempat menitip pesanan buat pemain berusia 14 tahun berkenaan.
“Saya rasa setiap jurulatih pasti akan tahu bagaimana untuk mempersiapkan pemainnya sebelum musim bermula. Di sana tengah sangat sejuk, jadi saya pesan kepada Rania kena buat pemanasan badan betul-betul.
“Yang kedua, jaga kesihatan mental baik-baik sebelum memulakan perlawanan dan kena enjoy. Selain itu, saya juga ada berkongsi kepada Rania bagaimana budaya di sana dan bagaimana dia perlu menyerlahkan dirinya sebagai pemain,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram