[VIDEO] Memang offside pun — Subkhiddin


  • Podium
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Tangkap layar memaparkan pemain Sang Kenari, Cleylton ditangkap ofsaid. — Facebook

HASRAT Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk melangkah ke final Piala FA 2024 tidak kesampaian selepas dikecewakan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT).

Beraksi di laman sendiri, semangat juang yang ditampilkan oleh Harimau Selatan nyata membuahkan hasil apabila mencetak tiga jaringan sekali gus meraih kemenangan dengan agregat 5-1.

Feroz Baharudin, Bergson da Silva dan Juan Muniz menjadi individu penting dalam kemenangan 3-0 aksi separuh akhir kedua itu.

BACA LAGI: Sudah patut kemas beg, ramai fans Kedah samakan Milos Gordic dengan import Gergasi Merah

BACA LAGI: Bukan kerambit tapi gunting, pemain samseng mungkin disaman, digantung seumur hidup

Kedah hampir menyamakan kedudukan menerusi Ebenezer Assifuah tetapi dinafikan oleh video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Cleylton dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum jaringan dibuat.

Susulan insiden panas itu, ramai penyokong Jelapang Padi tidak berpuas hati dan ada juga yang mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan tersebut.

Menurut mereka, Kedah layak memenangi jaringan tersebut kerana Cleylton tidak menyentuh bola berkenaan meskipun berada di kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, tampil menjernihkan keadaan yang hangat di media sosial itu, bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh tampil menjelaskan situasi tersebut.

Menurutnya, pemain Kedah sememangnya berada di kedudukan ofsaid dan keputusan pengadil perlawanan adalah tepat.

WhatsApp Image 2024-08-05 at 14.39.41

Sebahagian aksi menarik ketika jentera serangan Sang Kenari membuat serangan ke pintu gawang JDT namun gagal menembusi benteng pertahanan Harimau Selatan. — Facebook/KDAFC

"Pemain yang berada di kedudukan ofsaid itu melompat untuk cuba memainkan bola, jadi tindakan pemain tersebut sudah menganggu tumpuan dan persiapan penjaga gol JDT yang juga bersedia dengan situasi tersebut.

"Namun, bila tiba-tiba dia tak sentuh bola tu tapi bola tu dapat kepada rakan-rakan lain yang tidak ofsaid, itu yang ada terkait dengan interfering with an opponent.

"Tindakan pemain itu jelas ofsaid kerana dia ada percubaan untuk mengambil bola tersebut meskipun berada kedudukan yang ofsaid.

"Jadi itu yang dikatakan interfering, dia mengganggu tumpuan penjaga gol atau pihak lawan," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya lagi, penyokong perlu memahami undang-undang dalam bola sepak dan tidak sepatutnya membuat sebarang andaian.

"Jadi, bukan semua situasi ofsaid tu perlu sentuh bola.

"Dalam undang-undang ofsaid kalau pemain sentuh bola, ia dipanggil sebagai interfering with play.

"Sekiranya dia mengganggu permainan dengan mahu mendapatkan bola yang berhampiran dengan dia dan cuba mainkan meskipun ofsaid, ia dipanggil interfering with an oppenent," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram