IMPIAN pasangan sensasi, Pearly Tan-M. Thinaah demi mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama negara menggenggam erat pingat gangsa temasya Sukan Olimpik lebur apabila dijinakkan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dengan keputusan rubber set 11-21, 11-21 di Adidas Arena, Port de la Chapelle, Paris, Perancis pada Sabtu.
Kekalahan itu jelas cukup perit untuk ditelan, tambahan pula pasangan itu tidak berjaya meletakkan nama sebaris dengan atlet wanita negara yang berjaya meraih pingat dalam temasya sukan tertinggi dunia itu.
Antara atlet wanita negara yang berjaya memenangi pingat gangsa temasya Olimpik sebelum ini termasuklah ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong serta Diana Bong Siong Lin dan Chai Fong Wei (wushu), sementara gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong juga berjaya meraih perak pada temasya 2016 di Rio, Brazil.
BACA LAGI: Bulu tangkis asyik meleret di jaring, Pearly Tan-M. Thinaah hanya kalah nasib
Gandingan Pearly-Thinaah gagal meraih pingat gangsa temasya Olimpik Paris 2024 pada Sabtu — BAM
Meskipun bukan sebarang kemilau pingat yang dijelmakan sebaik gagal mengejutkan pilihan pertama, China, Chen Qingchen-Jia Yifan dari China dalam aksi separuh akhir pada Jumaat, sekurang-kurangnya perit jerih dan pengorbanan latihan Pearly Tan-M. Thinaah masih berjaya memenangi hati emas jutaan rakyat Malaysia.
Ternyata, unic selling point (USP) yang dimiliki pasangan ini terutamanya pukulan kilas Thinaah ke penjuru gelanggang serta kepantasan Pearly melakukan serangan kilat semasa bertahan gagal menjerat pasangan Jepun yang lebih bersedia. Alangkah bagusnya jika USP ini betul-betul diberikan penekanan secara konsisten oleh pasangan itu ketika mengharungi cabaran mendatang.
Kalah tak apa, janji kalah berjuang. Itu yang dipamerkan Pearly dan Thinaah sekali gus dihargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan pasangan itu di bumi Paris.
Apa yang pasti, masih banyak yang boleh ditawarkan pasangan ini jika dikekalkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) .
Legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj sebelum ini berkata, pihak BAM tidak perlu memisahkan mereka lagi dalam masa terdekat.
Sebelum ini, gandingan itu dikatakan berdepan masalah dari segi komunikasi tetapi sekarang mereka semakin baik.
"Yang penting dalam badminton adalah mereka menikmati permainan tersebut. Jika dilihat pada Pearly-Thinaah, mereka bercakap antara satu sama lain, mereka ketawa dan senyum.
"Bila perkara itu terjadi, itu bermakna mereka sedang bermain badminton. Mereka mesti menikmati permainan," katanya.
Sebelum ini, Pearly dan Thinaah hampir saja dipisahkan kerana dikhabar tidak berkomunikasi sesama sendiri.
Namun, persembahan mereka semakin baik, jadi James berpendapat BAM tidak perlulah memisahkan mereka.
Keserasian antara dua pemain itu sebagai satu pegawai beregu adalah disebabkan tindakan BAM sendiri yang membawa masuk pakar psikologi sempena Sukan Olimpik kali ini.
"Saya masih ingat dulu, mereka hampir dipisahkan kerana tidak berkomunikasi. Tapi sekarang, anda nampak perbezaan sudah berlaku, apabila pakar psikologi mula menyertai pasukan.
"Kalau latihan fizikal dan kecergasan pemain ada jurulatih tersendiri, kenapa untuk psikologi tak ada dari dulu?
"Sudah lama saya minta mereka bawa masuk pakar psikologi, sejak dua tahun lalu. Tapi bila nak dekat Sukan Olimpik baru nak bawa masuk.
"Jadi, BAM perlu jaga elok-elok pakar psikologi ni. Banyak kali saya sudah katakan, kita perlu seorang pakar psikologi dalam pasukan," ujar James. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram