PERLAWANAN Liga Super musim 2024/2025 menyaksikan PDRM FC menentang JDT FC berakhir dengan keputusan 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor pada Rabu.
Pada separuh masa pertama, PDRM memperoleh jaringan sulung selepas Muhammad Shahrel Fikri mencetak gol pertama buat skuad Sang Saka Biru pada minit ke-22.
Gol tersebut sekali gus membuatkan jurulatih JDT, Hector Bidoglio menukar dua pemainnya dan memasukkan Muhamad Feroz dan Oscar Pasero Arribas.
BACA LAGI: JDT bolos lagi tapi masih mampu bawa pulang 3 mata dari Likas
BACA LAGI: Lupakan insiden Apek tepis sepakan penalti, Paulo Josue akhirnya saingi Fandi
Hakeem menunjukkan kemampuannya dalam perlawanan kali ini. — MFL
Hasil pertukaran itu, Arribas berjaya meledak gol pertama JDT dengan bantuan Mohd Afiq Faizal pada minit ke-32 sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Beralih ke babak kedua, peluang JDT untuk menambah jaringan tidak kesampaian susulan ketangkasan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun yang cekap menepis semua percubaan dari pasukan lawan.
Kecemerlangan Hakeem dalam menjadi benteng terakhir The Cops membuatkan barisan hadapan JDT terutama penggempur berbisa mereka iaitu Bergson Da Silva seolah-olah mati kutu.
Sembilan minit masa tambahan yang diberikan pihak pengadil juga tidak dapat menyelamatkan maruah JDT, sekali gus menyaksikan PDRM menjadi pasukan pertama musim ini yang berhasil mengikat Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram