Tun Micheal setia menyokong parti, beri sumbangan besar — Wee Ka Siong


  • Politik
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Ka Siong (kiri) ketika bersama Chen Wing Sum. — Wee Ka Siong

BEKAS Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga bekas Timbalan Presiden MCA, Tun Michael Chen Wing Sum, 92, meninggal dunia pada Jumaat.

Perkara itu disahkan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

"Menerima berita sedih mengenai Tun Michael Chen, bekas Timbalan Presiden MCA yang meninggal dunia hari ini. Sumbangan dan peranan semasa hayatnya kepada masyarakat, MCA serta negara akan sentiasa dikenang," katanya menerusi hantaran itu.

BACA LAGI: Pelajar cedera diserang monyet ceroboh sekolah di Johor

BACA LAGI: Sumbangan syarikat alkohol untuk konsert amal sekolah — Zahid Hamidi

Ka Siong berkata, mendiang memainkan peranan penting khususnya dalam memudahkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China melalui 'Diplomasi Ping Pong' seterusnya memupuk hubungan yang membawa kemajuan dan kerjasama bermakna antara kedua-dua negara.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, Chen adalah veteran yang setia menyokong parti dan tetap bersemangat menghadiri program anjuran parti walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot.

"Walaupun dalam kesedihan, tetapi ahli parti perlu meneruskan legasi dan semangat perjuangannya. Kesungguhan Tun Michael terhadap kemajuan dan perpaduan akan terus memberi inspirasi kepada kita terutama ahli parti. Takziah diucapkan kepada keluarganya," katanya.

Pada 1964, Chen memulakan karier sebagai Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab dalam Penyelidikan Tenaga Nuklear dan Alam Sekitar pada 1973.

Pada tahun berikutnya, beliau dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama lima tahun.

Chen, juga pernah dilantik sebagai senator pada 1997, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 2000 hingga 2003. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram